mutakhir

Malaysia berada di zon selamat

Kuala Lumpur: “Saya menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa sekiranya berlaku gempa bumi besar di Nepal dan tempat lain, maka Malaysia akan mengalami kejadian sama,” kata pakar geobencana, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo.

Beliau menegaskan Malaysia masih boleh dianggap berada di zon selamat dan hanya mendapat kesan sampingan sahaja seperti gempa disusuli tsunami yang melanda Aceh di Sumatera, Indonesia, sedekad lalu.

Menurutnya, negara ini tidak akan menghadapi gempa bumi yang besar tetapi hanya kesan sampingan sahaja contohnya jika gempa bumi berlaku di Sumatera, gempa susulan yang kecil terutama di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur boleh dirasai.

“Bagaimanapun, kadang kala berlaku juga gempa bumi berskala kecil seperti berlaku di Sabah dan Sarawak. Negara ini bukan terletak di zon gempa bumi aktif.

“Walaupun Malaysia tidak akan mengalami gempa bumi besar namun kita boleh belajar daripada gempa susulan di Nepal terutama sejauh mana kesannya terhadap perubahan bentuk muka dan impaknya terhadap sosio ekonomi penduduk di situ.

“Malah, saya difahamkan satu per empat daripada keluasan negara Nepal menerima kesan daripada gegaran dan gempa susulan itu,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau mengulas kejadian gempa bumi dengan magnitud mencecah 7.9 pada skala Richter yang berlaku di Nepal, kelmarin.

Mengulas lanjut berkenaan kejadian itu, beliau berkata, gempa bumi itu berlaku akibat tindakan kerak benua India yang melanggar plat benua Asia yang membentuk banjaran Himalaya.

“Sebenarnya, Nepal adalah kawasan sangat aktif berlaku gempa bumi kerana plat yang membentuk banjaran Gunung Himalaya masih lagi bergerak naik.

“Oleh itu dari semasa ke semasa akan berlaku gempa bumi ini. Salah satu gempa bumi paling besar di dunia pernah berlaku di Assam, India pada 1980-an dan ini juga adalah salah satu terbesar dalam sejarah.

“Kejadian gempa bumi Nepal pada Sabtu lalu berlaku akibat pelanggaran dua kerak bumi di daratan manakala di Aceh pada 26 Disember 2004 pula terjadi sebab pelanggaran antara plat daratan dan lautan,” katanya.

Sehingga kini, difahamkan lebih 2,000 mangsa dilaporkan hilang dalam kejadian gempa bumi di Nepal dan banyak kawasan musnah sama sekali.

Disiarkan pada: April 27, 2015 @ 8:20am
d