mutakhir

JPJ tidak lindungi dalang klon kereta

Johor Bahru: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengalu-alukan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat mana-mana anggota dan pegawainya yang disyaki terbabit dalam sindiket klon kenderaan mewah yang dipercayai diseludup dari Singapura dan menggunakan cukai jalan palsu.

Walaupun siasatan dalaman JPJ tidak menemui sebarang bukti ada pembabitan anggota dan pegawainya, JPJ bersikap terbuka dan akan memberikan kerjasama sekiranya SPRM ingin melakukan siasatan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan SPRM sekiranya ada di antara kakitangan JPJ yang menjadi dalang sindiket berkenaan dan tidak akan melindungi mereka.

“Walaupun hasil siasatan setakat ini membuktikan tiada anggota JPJ terbabit dalam sindiket itu, sekiranya SPRM mahu menjalankan siasatan ke atas anggota JPJ, kami bersedia memberikan kerjasama.

“Ini kerana, kami tidak akan melindungi mana-mana anggota JPJ yang menjadi dalang sindiket berkenaan.

“Kami percaya sindiket ini adalah sindiket tempatan dan bijak menjalankan kegiatan dengan memperdaya orang ramai,” katanya.

Ismail berkata, sehingga kini JPJ masih menyiasat jumlah sebenar kenderaan mewah yang diklon di negara ini dan sehingga semalam seramai lapan pembeli menyerahkan kereta mewah mereka kepada JPJ.

Katanya, mereka memerlukan masa untuk menyiasat dan mendapatkan maklumat berkaitan sindiket berkenaan dan pada masa sama menghebatkan usaha mengesan pemilik kenderaan klon di seluruh negara.

“Antara kenderaan yang diserahkan termasuklah BMW, Mercedes-Benz dan Lexus dari Lembah Klang dan Terengganu. Semua kereta itu dipercayai diseludup dari Singapura,” katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2015 @ 9:43am
d