mutakhir

Bawa 1,000kg ubat-ubatan

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: “Fokus kami adalah misi perubatan di kawasan perkampungan dan pergunungan Nepal yang terjejas teruk dalam kejadian gempa bumi,” kata Presiden Kelab Ekspedisi Global (GEC) T Ravichandran.

Beliau bersama 10 doktor akan berlepas ke Kathmandu, Nepal pada 1 Mei depan bersama 1,000 kilogram (kg) ubat-ubatan untuk memberi bantuan perubatan kepada penduduk setempat di sana.

Menurutnya, misi kedua pula bersama jumlah doktor yang sama akan berlepas pada 20 Mei depan dan kedua - dua misi yang digelar GEC Nepal Medical Relief Mission 2015 akan berada selama 10 hari di kawasan pergunungan di Nepal.

“GEC di bawah misi perubatan ke Nepal akan memberi lebih fokus ke arah membantu mangsa gempa bumi di kawasan pergunungan di sana.

“Ini kerana berdasarkan pengalaman saya sendiri, Mac hingga Jun adalah musim yang sesuai untuk pendakian dan majoriti penduduk berpindah ke kawasan pergunungan untuk menjana pendapatan daripada pelancong,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau adalah pendaki solo pertama dari Asia Tenggara yang berjaya menawan puncak Gunung Everest dari bahagian bertentangan dengan Tibet pada 15 Mei 2006 itu berkata, penduduk setempat akan membawa seluruh keluarga ke kawasan pergunungan Everest dan semestinya kadar kematian serta kecederaan di kawasan itu lebih tinggi.

“Bulan November hingga Februari adalah musim sejuk, jadi musim yang terbaik untuk mendaki gunung ini adalah apabila masuk saja bulan Mac sehingga Jun. Jadi bagi penduduk tempatan, mereka akan ke kawasan pendakian yang menjadi tarikan pelancong seperti membuka kedai untuk menjana pendapatan.

“Mereka biasanya menetap di rumah atau pondok diperbuat daripada tanah liat. Jadi bayangkan apabila runtuhan salji berlaku dan menimpa penempatan mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, pengalamannya menghulurkan bantuan semasa insiden di Pakistan memberi pengajaran kepada mereka untuk mengatur ekspedisi misi bantuan ke Nepal.

“Gempa bumi yang berlaku di Kashmir, Pakistan pada 2005 adalah satu insiden yang lebih kurang sama di Nepal ini.

“Rata-rata penduduk yang menjadi mangsa ini tidak mempunyai akses untuk mendapatkan rawatan kerana pusat perubatan jauh di bandar. Mereka hanya merawat sendiri dengan ubat tradisional yang ada. Jadi ekspedisi ini kami membawa doktor untuk membantu mereka dengan memberi rawatan yang sepatutnya bagi mengelak kecederaan yang dialami mereka tidak berlarutan,” katanya.

Ketika ini, antara cabaran perlu dihadapi Ravi dan pasukannya adalah doktor sukar untuk mendapatkan cuti bagi membantu mangsa di Nepal memandangkan perkara ini berlaku secara tiba-tiba.

“Dalam hal pengangkutan, kami sedang bekerjasama dengan pihak Malindo Air dan Angkatan Tentera Malaysia untuk misi perubatan ini.

“Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai ekspedisi misi perubatan GEC di Nepal dan menyalurkan bantuan perubatan, boleh menghubungi kami di talian 603-4252 7552,” katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2015 @ 9:59am
d