mutakhir

Didakwa tumbuk pegawai imigresen hingga patah gigi

Kuala Lumpur: Seorang pegawai teknologi maklumat dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan seorang pegawai imigresen, tahun lalu.

Nashrin Reshad Arshad, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dihadapan Majistret Nur Azura Murah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulkifli Idris, 52, dengan menumbuk wajah mangsa sehingga patah gigi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Imigresen cawangan Wangsa Maju, Aras 1 Wisma Rampai, Jalan 34/26 Taman Sri Rampai dekat sini pada jam 10.40 pagi, 27 Ogos 2014.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Ravindran menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh, namun peguam Azamudin Abdul Aziz memohon mahkamah memberikan ikat jamin yang rendah atas alasan menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Mei ini untuk sebutan kes.

Disiarkan pada: April 28, 2015 @ 10:04am
d