mutakhir

Buru sampai lubang cacing

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Saki baki kumpulan militan tempatan yang menghasilkan bom atau bahan letupan sendiri sebelum merancang melakukan huru-hara dengan meletupkan beberapa kawasan strategik di Lembah Klang diburu hingga ke lubang cacing.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, polis mempunyai senarai ahli kumpulan berkenaan, bagaimanapun tidak boleh mendedahkan perkara itu kepada pihak media.

“Kami menjejaki mereka walau di mana mereka berada... Jika mereka berada di ruang udara (negara) kami sentiasa mengalu-alukan di pintu masuk dan tunggu masanya (untuk ditahan).

“Saya yakin polis mampu mencari saki baki kumpulan ini dan saya percaya mereka ditahan kelak,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom (UK) ke Malaysia Vicky Treadell di pejabatnya di sini, semalam.

Semalam akhbar melaporkan polis menahan 12 suspek lelaki berusia antara 17 hingga 42 tahun di Hutan Lipur Gunung Nuang Hulu Langat, Selangor kerana disyaki merancang melakukan serangan di sekitar Lembah Klang.

Usaha kumpulan itu dilaporkan mula dirintis melalui pembinaan markas di hutan lipur berkenaan yang juga digunakan sebagai lokasi untuk menguji bahan letupan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: April 28, 2015 @ 10:09am
d