mutakhir

Suami isteri buntu anak angkat OKU belum ada MyKad

Pendang: Sepasang suami isteri buntu memikir masa depan anak angkat mereka yang lumpuh sebelah kiri selain mengalami penyakit sawan serta masih tidak mempunyai MyKad sehingga kini.

Remaja orang kurang upaya (OKU) itu, Nurul Farida Hamimi Ramli, 18, mengalami penyakit sawan sejak berusia tujuh bulan menyebabkan dia mengalami lumpuh sebelah kiri dan tidak mampu bertutur.

Lebih malang usaha keluarga angkat memohon MyKad untuknya gagal kerana bapa kandung remaja terbabit gagal dikesan menyebabkan permohonan itu tidak dapat dibuat.

Ibu angkatnya, Rosnani Mahmod, 56, berkata, dia dan suami, Shamsul Hamat, 58, mula menjaga anak angkat mereka ketika dia berusia setahun lebih selepas mengambilnya daripada bapa kandung, Ramli Ahmad di FELDA Lui Selatan 1 Bahau, Negeri Sembilan.

Menurutnya, ketika itu, ibu kandung anaknya itu meninggal dunia selepas melahirkan Farida dan selepas berbincang bapa kandungnya bersetuju menyerahkan kepadanya untuk menjaganya.

“Kebetulan ketika itu anak sulung saya bertunang dengan bapa saudara Farida menyebabkan kami nekad ingin menjaganya selepas mengetahui dia mengalami penyakit sawan.

“Saya cuba berubat ke merata tempat, tetapi gagal menyembuhkannya. Perhubungan kami dengan keluarga terbabit turut terputus selepas anak saya tidak jadi berkahwin dengan bapa saudara Farida,” katanya ketika di temui di kediaman mereka di Kampung Padang Nyior, Mukim Tobiar di sini, semalam.

Rosnani berkata, lima tahun lalu dia cuba mendaftarkan anak angkatnya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pendang, tetapi tidak berjaya kerana memerlukan kehadiran bapa kandungnya.

“Walaupun kami mempunyai sijil kelahirannya namun gagal berbuat demikian kerana tidak memohon pendaftaran sebagai anak angkat secara sah.

“Kali terakhir kami cuba memohon kad pengenalannya empat tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pendang Mohd Rosdan Jusoh berkata, pihaknya akan melawat keluarga itu dan mengenal pasti statusnya dengan JPN terlebih dulu.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengenal pasti bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka.

Disiarkan pada: April 29, 2015 @ 8:06am
d