mutakhir

Sebat anak letak anjing dalam rumah

Ampang: Kerana seekor anjing, seorang wanita berusia 20 tahun cedera di tangan dan badan selepas disebat dengan penyangkut baju selain dihentak dengan pinggan oleh bapanya dalam kejadian di rumah mereka di Pandan Jaya, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa dilapor dipukul bapanya berusia 40-an kerana berang dengan anjing peliharaan wanita terbabit.

Menurut sumber, bapa mangsa mengarahkan anaknya itu supaya meletakkan anjing peliharaannya itu di luar rumah.

“Namun, mangsa bertegas membiarkan anjingnya di dalam rumah. Disebabkan kedegilannya, suspek menjadi berang sebelum memarahi mangsa.

“Dua beranak itu bertengkar lebih 10 minit. Si bapa yang gagal mengawal kemarahan kemudiannya memukul mangsa dengan penyangkut baju selain menghentak badannya dengan pinggan,” katanya.

Sumber itu berkata, suspek memukul anaknya itu kira-kira lima minit sebelum berhenti sebaik melihat mangsa cedera.

Katanya, tidak berpuas hati dengan kejadian menimpanya itu mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah.

“Biarpun bapa mangsa masih belum ditahan, usaha mengesannya sedang giat dijalankan pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK).

Disiarkan pada: April 29, 2015 @ 9:24am
d