mutakhir

62 Rohingya ditemui terkurung keletihan

Alor Setar: Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menyelamatkan 62 lelaki Rohingya yang diseludup masuk ke negara ini sebelum dikurung di sebuah rumah di Kampung Tok Saka, Hutan Kampung, di sini, semalam.

Difahamkan, polis yang menerima maklumat berhubung kegiatan pemerdagangan manusia bertindak menyerbu rumah itu jam 1.40 petang dan menahan dua lelaki warga Myanmar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kedah Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, dua ahli sindiket berusia awal 20-an dan 30 tahun itu bertindak menjadi penjaga mangsa pemerdagangan manusia di kawasan terbabit.

Menurutnya, mangsa berusia 11 hingga 40 tahun itu ketika diselamatkan berada dalam keadaan kotor dan keletihan.

“Siasatan mendapati suspek pemilik kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

“Semua mereka yang diselamatkan dibawa ke IPK Kedah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Nashir berkata, kes disiasat mengikut Akta Imigresen, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Disiarkan pada: April 29, 2015 @ 9:42am
d