mutakhir

Keluarga lega anak sudah keluar ICU

Shah Alam: Keluarga penuntut Malaysia yang terbabit dalam kebakaran di Moscow, Russia, Zainal Nastaiin Zainal, 20, lega apabila Kedutaan Malaysia di Moscow memaklumkan pelajar itu sudah keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sklifosovskogo.

Bapanya Zainal Ramli, 53, berkata, pegawai dari Kedutaan Malaysia menghubunginya kelmarin dan memaklumkan anaknya itu kini diberi rawatan di wad biasa dan keadaannya semakin pulih.

“Selepas mendengar perkhabaran itu, saya sangat lega dan sudah berselera untuk makan berbanding sebelum ini, memandangkan dia masih dirawat di ICU.

“Bagaimanapun, saya tetap mahu ke sana (Moscow) kerana ingin melihat sendiri anak saya selamat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Penuntut tahun pertama perubatan itu ditempatkan di ICU Hospital Sklifosovskogo kerana melecur teruk dalam kebakaran di asrama Russian National Research Medical University (RNRMU) di Moscow, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, 21 penuntut Malaysia terbabit dalam insiden kebakaran itu menyebabkan tujuh penuntut menerima rawatan lanjut termasuk Zainal.

Zainal berkata, pihak kedutaan juga memaklumkan anaknya kini sudah boleh bertutur serta makan dan dia sekeluarga sangat bersyukur kerana doa mereka dimakbulkan.

Disiarkan pada: April 29, 2015 @ 10:17am
d