mutakhir

Lambakan 'ancam' ketam nipah

Chukai: Lambakan ketam import dari negara jiran menyebabkan permintaan terhadap ketam nipah tempatan merosot berbanding tiga tahun lalu.

Pencari ketam nipah, Mat Dukun Kadir, 56, dari Kampung Bakau Tinggi, dekat sini, berkata, sambutan terhadap spesies itu kian menurun sejak kemasukan ketam ternak dari negara jiran.

“Sekarang hendak jual dua kilogram ketam nipah sehari pun sukar, kadang-kadang tidak laku langsung.

“Memang mencabar meneruskan kegiatan dan menjual ketam nipah ini maklumlah sambutan tidak semeriah tiga tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, dia mampu mendapatkan 10 hingga 20 ketam nipah sehari hasil menahan bubu di sungai sekitar Chukai.

“Mencari ketam nipah seolah-olah mencari barangan hilang di dalam sungai yang luas, jika ada rezeki lebih dapat banyak dan kadang-kadang tidak dapat langsung,” katanya yang menjalankan kegiatan mencari dan menjual ketam nipah sejak 20 tahun lalu.

Mat Dukun berkata, harga ketam nipah dijual berdasarkan saiz dan biasanya saiz besar dijual RM30 sekilogram manakala saiz kecil sekitar RM20 hingga RM25 sekilogram.

“Kebanyakan pelanggan tetap terdiri daripada masyarakat Cina yang gemar mempelbagaikan masakan berasaskan ketam nipah ini,” katanya.

Katanya, ketam nipah menjadi penawar paling baik demam denggi dan biasanya sup ketam nipah digunakan secara tradisional bagi merawat penyakit berkenaan.

Sementara itu, Bukhari Ali, 40, dari Kampung Bukit Kuang, dekat sini, berkata, ketam nipah mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan.

“Bukan saja berkhasiat untuk menyembuhkan penyakit tertentu seperti demam denggi, isinya juga manis dan lebih sedap daripada ketam biasa,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2015 @ 9:36am
d