mutakhir

Lumrah saban tahun

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sikap suka bertangguh serta kurang peka orang ramai terhadap tempoh pengisian borang BE (borang nyata individu pemastautin tidak menjalankan perniagaan) Tahun Taksiran 2014 menerusi kaedah e-filing yang dilanjutkan sehingga 15 Mei ini mengakibatkan sistem atas talian menjadi perlahan dan tergendala sejak kelmarin.

Sebelum ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melanjutkan tempoh pengisian borang BE menerusi kaedah e-filing daripada hari ini (30 April) kepada 15 Mei, namun tarikh akhir pengembalian borang BE secara manual kekal pada hari ini.

Pada masa sama, mereka yang mempunyai perniagaan pula perlu mengemukakan borang B pada 30 Jun, tetapi turut ditangguhkan kepada 15 Julai.

Bagaimanapun, pemerhatian Harian Metro di LHDN cawangan Jalan Duta petang semalam, mendapati orang ramai berpusu-pusu menyebabkan berlaku kesesakan luar biasa di kaunter e-filing dan kebanyakan mereka yang ditemui, mengaku tidak mengetahui tempoh lanjutan berkenaan.

Penjawat awam Tengku Marlia Diana Tengku Mat, 29, hadir bersama suami dan dua anak bagi mengisi borang BE menerusi kaedah e-filing di cawangan Jalan Duta kerana menyangka hari ini adalah tarikh terakhir menghantar borang berkenaan.

“Ini adalah kali pertama saya hendak mengisi borang BE dengan menggunakan e-filing, jadi saya dan suami mengambil keputusan lakukan di sini kerana jika ada kemusykilan mudah kami merujuk petugas di sini.

“Kebetulan saya dan suami memang bercuti hari ini, jadi kami mengambil peluang ini untuk menyiapkannya hari ini (semalam) kerana menyangka esok (hari ini) adalah tarikh terakhir isi borang, tak sangka pula tempohnya dilanjutkan lagi,” katanya.

Bagi pekerja swasta Khairul Amril Khaidir, 28, dari Puchong pula ingin menetapkan semula kata laluan terpaksa ke cawangan Jalan Duta selepas kaunter di cawangan Cyberjaya sesak sejak tengah hari semalam.

“Saya cuba mengisi e-filing di rumah semalam, tetapi tak boleh menggunakan kata laluan sedia ada kerana sistem bermasalah.

“Jadi hari ini saya ke kaunter Cyberjaya untuk menukar kata laluan, tetapi kaunter sesak dan pergi ke Jalan Duta tidak sangka situasi di sini juga sama,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam LHDN Jalan Duta Susan Sapidin berkata, kesesakan di kaunter berlaku sejak kelmarin kerana ramai pembayar cukai berkunjung ke cawangan itu bagi menggunakan kemudahan e-filing disediakan selain menetapkan semula kata laluan masing-masing.

Menurutnya, LHDN sudah memaklumkan tempoh lanjutan untuk pembayar cukai yang menggunakan e-filing sejak pertengahan Mac sama ada melalui Facebook atau laman web rasmi mereka.

“Mungkin ramai pembayar cukai mengisi e-filing masing-masing saat akhir kerana menyangka tarikh akhir berbuat demikian ialah pada hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2015 @ 9:55am
d