mutakhir

2 anugerah Asia

Bangkok: Akhbar Harian Metro (HM) memenangi pingat gangsa bagi kategori Kandungan Editorial Terbaik menerusi laporan khas Sedekad Tsunami pada Anugerah Media Asia 2015 anjuran Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Sedunia (WAN-IFRA), di sini, malam tadi.

HM turut memenangi pingat gangsa bagi kategori Fotografi Rencana Terbaik menerusi ruangan Spektrum bertajuk Perayaan Penuh Warna-Warni.

Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Abdul Jalil Hamid bersama Pengarang Berita (Projek Khas) HM Muhd Izawan Baharin dan jurugambar NSTP Mohd Aizuddin Akmal Saad menerima anugerah itu pada majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini.

Akhbar Berita Harian pula memenangi pingat gangsa dalam Anugerah Gambar Sukan Terbaik menerusi gambar yang dirakamkan jurugambar Osman Adnan.

Majlis yang dirasmikan Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-ocha itu diadakan sempena persidangan Publish Asia 2015 itu dihadiri ketua pegawai eksekutif syarikat penerbitan akhbar, editor dan wartawan kanan.

Laporan khas Sedekad Tsunami disiarkan di akhbar ini bermula 21 hingga 27 Disember lalu terbahagi kepada tiga bahagian dengan tumpuan kepada perkembangan pembangunan di Aceh, Indonesia, Phuket, Thailand, Pulau Pinang dan Kedah.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata ketiga-tiga anugerah ini satu lagi pengiktirafan di peringkat Asia dan pastinya memberi inspirasi terus berusaha lebih keras bagi menghasilkan berita dan gambar yang lebih menarik.

Laporan di Aceh oleh wartawan, Amir Abd Hamid disiarkan bermula 21 hingga 23 Disember dengan tumpuan pembangunan serta bantuan antarabangsa terutama daripada Malaysia digunakan pentadbir wilayah itu untuk menaik taraf kemudahan yang musnah.

Bahagian kedua di Phuket oleh Muhd Izawan menumpukan kepada penyatuan penduduk di Pantai Patong terdiri daripada pelbagai agama dan kepercayaan selepas tsunami yang meragut ribuan nyawa di situ.

Bahagian ketiga memaparkan perkembangan di Pantai Miami, Batu Feringghi, Pulau Pinang serta Kota Kuala Muda di Kedah oleh Muhd Izawan, Ketua Biro HM Kedah, Ahmad Saufi Mansor dan wartawan, Omar Osman.

Ruangan Spektrum bertajuk Perayaan Penuh Warna Warni oleh Mohd Aizuddin pula memaparkan sambutan festival Holi di India.

Disiarkan pada: April 30, 2015 @ 10:15am
d