mutakhir

Kota janji pada rakyat

Rompin: Penyerahan surat hak milik tanah kepada peneroka Felda di Pahang menunjukkan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) mengotakan janji kepada rakyat.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, ia sekali gus menepis dakyah pembangkang konon BN gagal menjaga kebajikan dan menipu peneroka terutama dalam pemilikan tanah.

“Seramai 308 peneroka Felda Keratong 10 menerima surat hak milik hari ini (semalam), penyerahan ini bukan kerana ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin tapi sudah dirancang lebih awal lagi dalam jadual Felda.

“Malah, selepas ini seramai 1,281 peneroka di lima tanah rancangan Felda iaitu Lepar Hilir 3, Tembangau 1 dan 2, Rentam dan Mengkuang akan menerima surat hak milik mereka pada Mei ini.

“Semua Felda ini di luar Rompin, jadi penyerahan bukan semata-mata kerana ada PRK,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan berkenaan, semalam.

Hadir sama Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah Datuk Seri Maznah Mazlan dan calon BN PRK Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 36,567 orang peneroka atau 80 peratus daripada keseluruhan jumlah peneroka di Pahang seramai 43,124 sudah menerima surat hak milik tanah masing-masing.

“Bagi peneroka yang belum dapat surat hak milik, kita akan usahakan secepat yang mungkin kerana proses penyiapannya mengambil masa.

“Ini termasuk proses dokumentasi di pejabat tanah selain perlu melakukan pengukuran dan membuat persempadanan tanah yang terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2015 @ 9:33am
d