mutakhir

Tuah hujan

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: “Saya betul-betul terkejut apabila Perdana Menteri yang memegang payung melindungi kami daripada hujan ketika berjalan berdua menuju ke kedai makan di sebelah bengkel.”

Demikian perasaan teruja dikongsi Pengarah Urusan Harun Salim Auto Enterprise Zaharul Lail Alang Lateh, 55, di Kampung Baru di sini yang terkejut dengan tindakan spontan Datuk Seri Najib Razak ketika berkunjung ke premisnya, semalam.

Ketika itu menurut Zaharul, cuaca hujan dan pemimpin nombor satu negara itu tanpa kekok mencapai payung dan berjalan di sisinya.

“Memang saya terkejut sebab sepatutnya sayalah yang pegang payung sebagai tanda hormat, tetapi sebaliknya berlaku sehinggalah kami tiba di kedai makan beberapa meter dari bengkel saya,” katanya.

Menurutnya, sepanjang hidupnya dan selama 30 tahun menjalankan perniagaan bengkel kereta, itulah kali pertama dia bertemu Perdana Menteri dan tidak menyangka beliau begitu mesra dengan rakyat.

“Saya dapat tahu beliau hendak melawat bengkel saya petang semalam (kelmarin) daripada seorang pegawai Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) kerana saya adalah peminjam tabung berkenaan.

“Mulanya saya tidak percaya, tetapi selepas diberitahu Perdana Menteri ingin melihat sendiri bagaimana OKU seperti saya menguruskan bengkel ini bersama tujuh pekerja OKU lain, barulah saya percaya dan terharu,” katanya

Zaharul berkata, dia menganggap semalam adalah hari paling bertuah dalam hidup kerana dapat berbual, makan dan berjalan selama hampir sejam bersama Perdana Menteri walaupun tahu beliau sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan rasmi

“Apa yang lebih bermakna apabila beliau menyatakan kesediaannya membantu usahawan OKU di seluruh negara yang berdaya saing menggunakan saluran seperti TEKUN dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Najib yang berkemeja putih, tiba di bengkel berkenaan jam 1 petang dan beliau turut berkongsi lawatannya itu ke dalam entri Facebooknya.

Perdana Menteri menulis, Bengkel 2H Auto Workshop yang dikelolakan Zaharul, antara pengusaha OKU paling berjaya di Kampung Baru itu menerima manfaat daripada Program TEKUN yang bermatlamat membantu golongan Bumiputera memulakan atau memajukan perniagaan mereka.

Terdapat empat gambar dimuat naik termasuk bergambar dengan Zaharul dan pekerja bengkel berkenaan yang kebanyakannya terdiri daripada OKU. Turut dipaparkan adalah gambar beliau menikmati makan tengah hari bersama beberapa pengusaha TEKUN di Restoran Matahari.

Disiarkan pada: May 1, 2015 @ 9:59am
d