mutakhir

10,000 pengguna alami gangguan air

Shah Alam: Kira-kira 10,000 pengguna di beberapa kawasan di Wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah berikutan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 terpaksa dihentikan sementara sejak jam 9.30 pagi semalam.

Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) Priscilla Alfred berkata, operasi LRA itu dihentikan sementara berikutan berlakunya penurunan paras air Sungai Langat hingga mencecah di bawah paras minimum.

Menurutnya, pengendali loji iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) memaklumkan kepada SYABAS, situasi itu akibat berlakunya runtuhan tanah yang disebabkan kerja pihak ketiga kira-kira dua kilomter dari muka sauk loji rawatan air terbabit.

“Kesannya, aliran air ke LRA terjejas hingga menyebabkan sistem pengepaman air mentah loji berkenaan berhenti beroperasi. Kini pihak berkenaan sedang mengorek kembali runtuhan tanah yang menghalang laluan air Sungai Langat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, antara kawasan terbabit adalah Kampung Baru Balakong, Taman Dutamas, Taman Sinaran, Taman Kasturi Cheras, Taman Bukit Emas, Taman Impian Indah, Taman Taming Indah dan beberapa kawasan lain yang membabitkan 21,178 pemegang akaun.

Menurutnya, PNSB meningkatkan pelepasan air mentah dari empangan ke sungai berkenaan kepada 302.2 juta liter daripada jumlah kebiasaan sebanyak 220 juta liter bagi membantu mempercepatkan aliran sungai ke paras normal.

Katanya, PNSB menjangkakan LRA akan beroperasi secara berperingkat selepas kerja pengorekan tanah disiapkan pihak terbabit dan paras air sungai kembali normal.

Disiarkan pada: May 1, 2015 @ 10:19am
d