mutakhir

Impian duduk serumah

Oleh Mahaizura Abd Malik

Gombak: “Biarpun hidup kami susah, tetapi saya tetap berharap suatu hari nanti, kami adik beradik dapat duduk sebumbung dengan ibu,” demikian luahan seorang remaja yang ingin dikenali sebagai Ina, 13, yang menetap di Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Al-Nasuha di sini, sejak empat tahun lalu.

Menurut Ina, dia dan lima adik beradiknya masing-masing berusia antara enam hingga 16 tahun dihantar ke pusat berkenaan kerana kesempitan hidup dan masalah ibu bapanya yang sudah berpisah.

“Hidup kami memang susah, tetapi tidak pernah sekali pun kami tidak makan.

“Biarpun hanya makan ala kadar hanya nasi berlauk telur dan ke sekolah dengan duit belanja 50 sen sehari kami tidak kisah.

“Saya suka duduk sini tetapi perasaan rindu kepada emak dan ayah tetap ada,” katanya mengenang kehidupan keluarganya sebelum menetap di pusat berkenaan.

Sementara itu, abangnya Imran berusia 16 tahun menambah mereka perlu bangun seawal jam 5 pagi dan berjalan kaki sebelum mengambil dua bas untuk ke sekolah kira-kira lima kilometer dari rumah mereka.

“Hendak sampai ke jalan besar untuk menaiki bas kami perlu jalan kaki dulu. Memang penat tetapi nak buat macam mana itulah rutin kami setiap hari.

“Dulu, baju sekolah kami pun tak pernah berganti selama setahun. Syukurlah di sini, semuanya lengkap,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2015 @ 8:50am
d