mutakhir

Cuti tidak ganggu proses mengundi

Rompin: Cuti lima hari berturut-turut tidak menjejaskan peratusan pengundi untuk keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing, sebaliknya memberi kelebihan kepada mereka membuat perancangan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tidak timbul isu kemungkinan penduduk di daerah itu memanfaatkan cuti panjang dengan melakukan aktiviti lain selain pengundi luar tidak mendapat cuti menyebabkan peratusan keluar mengundi menurun.

Beliau berkata, masalah itu tidak akan berlaku kerana rakyat mengetahui tanggungjawab masing-masing bagi memilih pemimpin mereka, Selasa ini.

“Cuti atau tidak bukan masalah kerana kita perlu pastikan setiap pengundi di Parlimen ini menunaikan tanggungjawab mereka dan kalau boleh pujuk supaya mengundi.

“Cuti panjang memberi kelebihan kepada pengundi kerana mereka mudah keluar mengundi,” katanya pada sidang media selepas melawat Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Ridan di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah Datuk Seri Maznah Mazlan.

Menurutnya, pembangunan di daerah itu akan bertambah pesat jika rakyat terus memberikan mandat kepada calon BN Datuk Hasan Arifin untuk memimpin mereka.

“Rakyat perlu berpandangan jauh kerana jika pembangkang memerintah, mereka tidak akan kembali ke kawasan masing-masing kecuali pada pilihan raya sekali gus merencatkan pembangunan setempat.

“Berbeza dengan pemimpin kita yang sentiasa berada di kawasan masing-masing, malah mudah untuk didekati semua lapisan masyarakat sekali gus mampu mewakili rakyat bagi membela nasib mereka,” katanya.

Disiarkan pada: May 2, 2015 @ 9:16am
d