mutakhir

Utama sentimen rakyat isu kad tambah nilai telefon

Bukit Mertajam: “Syarikat telekomunikasi mesti faham, sentimen rakyat diutamakan kerana dalam apa jua keadaan, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal itu,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, mengulas isu kad tambah nilai telefon prabayar yang mengelirukan orang ramai.

Kekeliruan itu berikutan pihak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan bercanggah berkaitan caj Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk kad berkenaan.

Beliau berkata, walaupun beberapa cadangan akan dibincangkan dengan semua pihak, iaitu syarikat telekomunikasi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kerajaan mahu pihak terbabit mengambil kira suara rakyat selaku pengguna kemudahan telefon prabayar.

Katanya, antara cadangan yang akan dipertimbangkan ialah syarikat berkongsi keuntungan dengan pengguna melalui pakej istimewa ditawarkan pada tempoh tertentu.

“Selain itu, cadangan supaya mereka (syarikat telekomunikasi) menyerap GST akan dibincangkan dengan melihat aspek perundangan sama ada ia boleh dipaksa terhadap mereka atau tidak.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui laman sosial Twitter beliau mengarahkan Ahmad Shabery mengambil alih isu kad tambah nilai dan hanya menteri itu saja membuat sebarang pengumuman mengenainya.

Isu kad tambah nilai berkenaan mengelirukan apabila JKDM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan kenyataan bercanggah.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad mengarahkan syarikat telekomunikasi mengembalikan harga tambah nilai pada kadar asal mulai 1 Mei tetapi pada hari sama, Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie menyifatkan pengumuman Khazali sebagai agak mustahil untuk pembekal perkhidmatan berbuat demikian.

Sebelum 1 April lalu, pengguna membayar enam peratus bagi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermakna sebagai contoh, harga prabayar RM10, ia mengandungi nilai isi semula RM9.43.

Namun, syarikat telekomunikasi memberikan masa tambahan kepada pengguna bagi menampung SST enam peratus menjadikan pengguna mendapat nilai isian semula penuh RM10.

Disiarkan pada: May 3, 2015 @ 8:37am
d