mutakhir

Bulan madu ke-2

Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Seramai 863 pasangan bermasalah dalam perkahwinan dipilih menyertai Program Pasca Perkahwinan Bulan Madu Kedua (PPPBMK) anjuran kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sejak tujuh tahun lalu.

Pengarah YPKT Mohd Shafaruddin Mustafa berkata, program itu bertujuan mengeratkan ikatan perkahwinan melalui modul diterapkan kepada peserta.

Beliau berkata, program tiga hari dua malam itu sarat dengan pelbagai aktiviti bagi membolehkan pasangan menyertai program itu menilai diri selain mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Katanya, kerajaan negeri amat bimbang dengan kadar perceraian yang berlaku di negeri ini dan kerana itu penganjuran program itu dilihat amat bersesuaian.

“Kerajaan negeri melihat apabila sesebuah institusi kekeluargaan berada pada landasan betul maka modal insan yang dilahirkan juga berkualiti, namun sebaliknya apabila keadaan sesebuah keluarga kucar-kacir maka pelbagai masalah akan timbul.

“Peranan kerajaan negeri untuk membantu menjadikan keluarga bahagia tercapai, jadi setiap pasangan bijak mengurus hal kekeluargaan mereka bagi mengelak berlakunya perceraian,” katanya kelmarin.

Mohd Shafaruddin berkata, pihaknya melihat program berkenaan dapat memberi impak tinggi dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan selain memberi nafas baru kepada peserta dalam mengekalkan ikatan perkahwinan.

“Uniknya PPPBMK hanya terdapat di Terengganu dan kecaknaan kerajaan negeri dalam membentuk institusi kekeluargaan bahagia mampu membendung berlakunya penceraian dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2015 @ 8:38am
d