mutakhir

Minta panjang tempoh bayaran

Rompin: Isu pemilikan rumah bagi generasi kedua FELDA antara fokus utama calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin jika diberi mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, 5 Mei ini.

Menurutnya, beliau akan mencadangkan tempoh pembayaran pinjaman rumah dipanjangkan sehingga 35 tahun dan ibu bapa atau penjaga boleh mengemukakan cagaran bagi menyokong pinjaman.

“Saya memahami rintihan generasi kedua FELDA untuk memiliki rumah yang pada fikiran mereka agak tinggi dan di luar kemampuan,” katanya selepas melawat projek perumahan generasi kedua FELDA Selendang 1, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hasan yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin berkata, usaha itu perlu memandangkan isu berkaitan FELDA sentiasa mendapat perhatian kerajaan berikutan penubuhannya yang diilhamkan Allahyarham Tun Abdul Razak.

“Saya ingin merayu pucuk pemimpinan supaya mengkaji semula harga rumah ini, saya harap ia dipertimbangkan demi kepentingan generasi kedua FELDA,” katanya.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Hasan, 62, dan calon PAS, Nazri Ahmad, 40.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Jamaluddin yang juga Pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) mengekalkan kerusi kawasan itu yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Disiarkan pada: May 3, 2015 @ 9:01am
d