mutakhir

Mengenang jasa pendidik

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Bertemakan Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak, sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2015 pada 16 Mei ini membuktikan kesungguhan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam melahirkan generasi berilmu dan pada masa sama turut memiliki sahsiah peribadi unggul.

Sambutan kali ke-44 yang berlangsung di Kedah bermula 14 hingga 16 Mei ini bakal dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2015 Abdullah Mad Yunus berkata, pemilihan tema itu selari dengan falsafah pendidikan negara dalam melahirkan lebih ramai generasi bersepadu dalam semua aspek termasuk berilmu dan berketerampilan bagi menerajui negara pada masa depan.

“Tema ini menjadi keutamaan, di mana pada pandangan jawatankuasa induk ia adalah terjemahan kepada falsafah pendidikan negara untuk melahirkan rakyat Malaysia berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga masyarakat dan negara.

“Pendidikan memainkan peranan penting dalam proses pembentukan negara bangsa dan pembangunan modal insan,” katanya.

Menurut Abdullah, pelbagai siri program diatur di lapan lokasi strategik di Alor Setar dan Jitra, Kedah bermula 14 hingga 16 Mei ini sebagai pengisian memeriahkan acara sambutan dengan sasaran 10,000 pengunjung untuk keseluruhan acara yang dijalankan.

“Program pertama ialah pelancaran Pameran Pendidikan dan Festival Hari Guru serta pelancaran buku berkonsepkan kelestarian pendidikan dulu, kini dan akan datang yang dijangka berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar diikuti Wacana Intelek di Dewan Insaniah.

“Pada 15 Mei, acara senamrobik diadakan di Padang Stadium Sultan Abdul Halim, pelancaran pameran seni visual di Muzium Padi Kedah serta Forum Hari Guru di Dewan Insaniah.

“Acara kemuncaknya ialah Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2015 di Dewan Wawasan, Jitra pada 16 Mei yang dijangka dihadiri 3,000 tetamu jemputan,” katanya.

Abdullah yang juga Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) berkata, pada kemuncak sambutan berkenaan, beberapa pendidik dipilih untuk menerima pengiktirafan sebagai penghargaan pencapaian dan jasa mereka dalam mendidik anak bangsa.

“Setiap tahun Kementerian akan menganugerahkan dua pendidik sebagai Tokoh Guru dan Tokoh Kepimpinan kerana jasa mereka dalam bidang pendidikan.

“Selain itu, pada majlis makan malam pula, beberapa guru akan diberikan pengiktirafan berdasarkan kepada beberapa kategori seperti Guru Inovatif, Ikon Guru, Guru Yang Memberi Sumbangan atau mengambil bahagian dalam pelbagai pertandingan,” katanya.

Menurutnya, persiapan bagi menjayakan acara berkenaan sudah meliputi 90 peratus hampir siap membabitkan lebih 1,000 orang daripada 13 bahagian yang terbabit secara langsung sebagai jawatankuasa kerja.

“Saya yakin di peringkat jawatankuasa pelaksana sudah membuat persediaan rapi dan kita harap perayaan ini akan berjalan dengan lancar.

“Semua 13 bahagian ini merangkumi KPM, Jabatan Pendidikan Kedah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut sama menyumbang tenaga untuk menjayakan acara ini,” katanya.

Abdullah berkata, dengan mengambil semangat sempena acara itu beliau berharap dapat mewujudkan rasa penghargaan dan mengenang kembali jasa pendidik dalam kalangan masyarakat dan murid.

“Kita berharap sekurang-kurangnya Hari Guru ini membolehkan semua orang yang pernah ada guru mengenang kembali jasa guru mereka.

“Memang kalau boleh hari-hari perlu ingat jasa guru, tetapi dengan mengambil semangat Hari Guru pada kali ini kita harap dapat mencapai objektif itu.

“Ianya lebih mudah bagi masyarakat mahupun murid zaman sekarang menzahirkan rasa terima kasih kepada guru masing-masing menerusi kaedah penggunaan media sosial Facebook dan Twitter yang dilancarkan sempena sambutan pada tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 3, 2015 @ 9:12am
d