mutakhir

100 ketawa berdekah-dekah

Johor Bahru: Lebih 100 individu pelbagai peringkat usia menyertai Hari Ketawa Sedunia, di sini, semalam, yang bermatlamat menjadikan ketawa sebagai terapi dalam kehidupan.

Presiden Johor Bahru Happy and Joyous Club Goh Siew Mei berkata, inisiatif berkenaan dicetuskan pengasas yoga dan doktor perubatan dari India, Dr Madan Kataria pada 1988.

“Mesej kami mudah iaitu mahu setiap rakyat Malaysia berterusan ketawa untuk kekal sihat kerana pada ketika ini kebanyakan kita hidup dalam persekitaran yang tertekan.

“Diharap program ini akan mempromosikan keamanan sedunia dan mengatasi tekanan dengan amalan ketawa,” katanya ketika ditemui semasa program Sambutan Hari Ketawa Sedunia 2015, semalam.

Beliau berkata, ketawa adalah bahasa dunia dan kuasa positif yang mampu mewujudkan semangat persaudaraan dan persahabatan tanpa mengira bangsa serta agama.

“Tahun ini adalah kali ke-20 sambutan selepas Hari Ketawa Sedunia mula diperkenalkan.

“Sambutan ini diraikan di 100 negara yang membantu memberi keceriaan dan turut dilakukan di sekolah, kolej, universiti, pusat jagaan warga emas, hospital dan penjara,” katanya.

Disiarkan pada: May 4, 2015 @ 9:40am
d