mutakhir

Detik bersejarah bermula

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Kuala Kangsar: Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bermula secara rasmi semalam dengan berlangsungnya Istiadat Meletak Kerja Pertabalan di Istana Iskandariah, di sini.

Istiadat diadakan di kawasan Panca Persada di dalam pekarangan istana itu dimulakan sebaik Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim tiba jam 9.45 pagi.

Istiadat diteruskan dengan titah memohon perkenan oleh Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Datuk Ir Mohamad Othman Zainal Azim untuk memulakan istiadat meletak kerja.

Sultan Nazrin menzahirkan perkenan dan melafazkan pengisytiharan Istiadat Meletak Kerja untuk memulakan persiapan bagi mengendali upacara bersempena Istiadat Pertabalan itu.

Istiadat diteruskan dengan bacaan doa dipimpin Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria disusuli tembakan meriam 17 das serentak dengan paluan nobat Kumpulan Nobat Diraja Perak sebelum diteruskan dengan majlis jamuan kecil-kecilan.

Anakanda baginda berdua, Raja Azlan Muzaffar Shah yang juga Raja Kechil Besar Perak dan Raja Nazira Safiya turut bersama-sama pasangan diraja itu.

Berangkat sama Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Puan Besar Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah, Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir kerabat diraja Perak, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan kepemimpinan kerajaan negeri.

Pelbagai majlis istiadat dan acara dilangsungkan selama 15 hari dengan hari kedua diteruskan apabila Sultan Nazrin dan Tuanku Zara Salim berangkat ke pameran koleksi gambar kedua-dua baginda di Dewan Bandaran, Ipoh selain ke pertandingan akhir pidato serta penyampaian hadiah penulisan esei.

Disiarkan pada: May 4, 2015 @ 10:25am
d