mutakhir

Buang air besar melalui perut

Bukit Mertajam: Ketabahan hati sepasang suami isteri ternyata diuji apabila bayi perempuan mereka dilahirkan tidak cukup bulan dan kini hanya mampu membuang air besar melalui perut.

Berikutan keadaan bayi mereka, Hana Rania Sofia, 2 bulan, itu, doktor menasihatkan pasangan terbabit supaya menjaga kebersihan rumah kerana bayi berkenaan perlu diberikan perhatian khusus untuk mengelak daripada jangkitan kuman.

Namun, pasangan terbabit kini hanya mampu berteduh di rumah usang yang dimamah anai-anai dan adakalanya terpaksa tidur di ruang dapur kerana bimbang serpihan kayu dan habuk di tingkat atas rumah akan menyebabkan bayi mereka tidak selesa.

Itulah pengorbanan terpaksa ditanggung Khairul Rizal Awang Kechil, 38, bersama isterinya, Hufaidah Sudin, 38, bagi memastikan bayi mereka mendapat penjagaan rapi walaupun sedar hidup mereka dihimpit kemiskinan.

Menurut Khairul Rizal, bayi mereka dilahirkan pramatang pada kandungan 7 bulan kerana isterinya menghidap darah tinggi dan kencing manis.

“Selepas hari kelima dilahirkan, anak saya mengalami perut kembung hingga menyebabkan ususnya terputus.

“Seminggu kemudian, hospital melakukan pembedahan mengeluarkan usus dari perut dan dia kini hanya mampu membuang air besar melalui usus yang disalurkan ke dalam beg khas,”” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tanah Liat, di sini, semalam.

Sementara itu, Hufaidah berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai guru tadika selepas mengalami masalah kesihatan serius ketika mengandung selain mahu memberikan perhatian penuh untuk menjaga bayi mereka dan tiga lagi anaknya yang berusia 11 hingga 15 tahun.

“Suami hanya bekerja sebagai pembancuh air di sebuah restoran selain menjual makanan ringan dari rumah secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga.

“Dengan pendapatan suami sebanyak RM20 sehari, memang ia tidak mencukupi kerana untuk kelengkapan dan kos penjagaan bayi kami sahaja sudah mencecah RM300 hingga RM400 sebulan,” katanya.

Menurutnya, mereka kini menetap di rumah pusaka yang tidak mempunyai bilik dan anak-anak akan tidur di tingkat atas rumah yang sudah bocor serta usang.

“Masalah anai-anai ini sudah berlarutan sejak enam tahun lalu, namun kerana kesempitan wang, kami sekeluarga masih menetap di rumah terbabit walaupun diancam bahaya.

““Doktor menasihati saya supaya menjaga kebersihan rumah kerana bayi kami memerlukan penjagaan yang rapi dan khusus bagi mengelak dia dijangkiti kuman.

“Berikutan itu, ada kalanya kami terpaksa tidur di dapur kerana hanya di situ lokasi yang agak bersih dan terhindar daripada habuk kayu rumah yang dimakan anai-anai,” katanya.

Menurutnya, dia berharap ada pihak dapat membantu mereka sekeluarga untuk membaiki rumah berikutan kosnya terlalu tinggi.

Disiarkan pada: May 4, 2015 @ 10:33am
d