mutakhir

Naik taraf kemudahan terbiar

Oleh Hamizah Badiran

Rumah kos rendah dan sederhana rendah, kuarters kerajaan serta tandas awam yang dulunya dalam keadaan terbiar, tidak diuruskan dengan baik dan kotor, kini berubah wajah selepas pelaksanaan inisiatif ‘My Beautiful Malaysia (MyBM)’ kendalian Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

KPKT yang dibantu pelbagai agensi kerajaan Persekutuan mahupun negeri serta orang ramai, berjaya dalam misi mengindahkan tiga komponen berkenaan demi kesejahteraan bersama semua pihak.

Ketua Setiausaha KPKT Datuk Seri Arpah Abdul Razak berkata, sejak MyBM diperkenalkan pada Mei tahun lalu di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) ke-10, pihaknya mendapati banyak perkara yang perlu diuruskan dan melihat aspek penyenggaraan serta membaik pulih kemudahan awam sebagai satu langkah tepat.

“Tujuan utama MyBM ini diperkenalkan adalah untuk menangani isu perumahan pangsa kos rendah dan fasiliti awam yang tidak diselenggara dengan baik.

“Selepas meneliti beberapa perkara penting, pelaksanaan inisiatif MyBM dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu penyelenggaraan kuarters kerajaan, rumah kos rendah dan sederhana rendah serta membaik pulih dan menaik taraf tandas awam di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kuarters kerajaan tidak boleh ditinggalkan begitu saja atau tanpa dibaiki kerana ia mencemarkan pandangan. Ada juga kedengaran kata-kata daripada masyarakat mengenai kerajaan tak memberi peruntukan untuk membaikinya sebagai punca masalah ini dan atas sebab itu, kita fikir apa salahnya kita laksanakan perkara ini,” katanya.

Melalui komponen pertama, KPKT berperanan menyelaras dengan semua agensi kerajaan yang memiliki kuarters dan mengenal pasti kuarters yang memerlukan pembaikan sebelum peruntukan dapat disalurkan kepada agensi berkenaan.

Semua agensi kerajaan yang sebelum ini bekerja secara silo atau bersendirian dalam mengurus dan mendapatkan peruntukan pembaikan kuarters memberi kerjasama penuh dalam mengenal pasti kuarters yang memerlukan pembaikan segera.

Prihatin dengan isu dihadapi kakitangan awam yang mendiami kuarters, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan berjumlah RM105 juta untuk program penyenggaraan kuarters kerajaan.

Sebanyak 110 lokasi kuarters di seluruh negara di bawah 14 agensi kerajaan akan dibaik pulih pada tahun ini dan seramai 33,568 kakitangan awam yang mendiami kuarters kerajaan akan mendapat manfaatnya.

Komponen kedua yang fokus kepada penyenggaraan rumah kos rendah dan sederhana rendah dilaksanakan bagi menangani isu rumah pangsa kos rendah yang kelihatan kusam atau dalam keadaan uzur akibat tidak disenggara dengan baik.

Justeru, KPKT memperkenalkan dua program utama iaitu Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) bagi rumah kos rendah awam dan Program Tabung Penyenggaraan 1Malaysia (TP1M) untuk rumah kos rendah dimiliki pihak swasta.

Kaedah pembiayaan PPP dan TP1M berasaskan geran sepadan yang diperkenalkan untuk memupuk semangat kekitaan penghuni terhadap kawasan kediaman dan meningkatkan komitmen pihak pengurusan terhadap tanggungjawab mereka menyenggara kemudahan di situ.

Menurut Arpah, pada tahun ini, tumpuan utama program diberikan pada tandas awam di kawasan tumpuan pengunjung tempatan mahupun pelancong asing.

Setiap tandas itu akan diubah wajah kepada tandas bertaraf lima bintang membabitkan kerja menukar mangkuk tandas, sistem perpaipan, sistem kumbahan, pendawaian elektrik dan estetik pada bahagian luaran atau dalaman bangunan itu.

Sebanyak 330 tandas dengan kos projek RM24.07 juta akan dibaik pulih pada tahun ini.

Disiarkan pada: May 4, 2015 @ 10:43am
d