mutakhir

Warna-warni di dada langit

Oleh Nur Ain Musdad

Melaka: Kemeriahan Pesta Layang-layang di Padang Kota Laksamana, di sini, semalam berjaya menarik lebih 400 pengunjung.

Dengan pelbagai bentuk layang-layang gergasi berwarna-warni, pelbagai saiz dan rupa, musim cuti sekolah sempena Hari Buruh dan Wesak setidak-tidaknya diisi sebaik mungkin setiap keluarga.

Presiden Persatuan Rakan Layang-Layang Datuk Wong Soo Tang berkata, penganjuran pesta layang-layang ini bertujuan mempelawa ahli mereka beriadah bersama sempena cuti umum selain meraikan ulang tahun ke-11 penubuhan persatuan berkenaan.

“Pada hari ini, lebih 20 ahli persatuan dari Selangor dan Johor berkunjung ke Melaka untuk bersama-sama menaikkan lebih 100 layang-layang pelbagai bentuk dan saiz termasuk layang-layang moden dan tradisional bagi menarik minat pengunjung.

“Selain itu, kita turut mempamerkan layang-layang terbesar yang kita miliki berukuran 36 meter panjang 12 meter lebar yang pernah disenaraikan dalam Malaysia Books Of Record untuk tatapan orang ramai,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan, di sini, kelmarin.

Wong berkata, persatuan itu memiliki lebih 100 ahli di seluruh negara yang aktif menyertai pertandingan baik dalam mahupun luar negara.

“Ahli-ahli kita terdiri daripada mereka yang berumur belasan hingga 85 tahun yang masih mempunyai minat yang mendalam terhadap permainan layang-layang.

“Malah, kita kerap menerima jemputan mewakili negara bagi menyertai pertandingan layang-layang yang diadakan di Thailand, Indonesia, Taiwan, Vietnam dan China,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2015 @ 10:12am
d