mutakhir

Lima beranak terjunam dalam gaung

Penampang: Seorang wanita yang hamil tiga bulan bersama empat anaknya terselamat walaupun kereta yang mereka naiki hilang kawalan lalu terjunam dalam gaung hampir 10 meter di Jalan Papar Lama berhampiran Kampung Lok Kawi Baru dekat sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berlaku ketika pemandu Perodua Kancil Dianah Kahar, 38, bersama empat anaknya, Mohd Farid Mazlan, 8; Mahira Afiqah, 7; Mohd Danish, 4; dan anak bongsu Myra Nur Habisyah, 2, dalam perjalanan dari arah Papar menuju Penampang.

Dalam kejadian itu, Dianah cedera di bahu dan pinggang sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil manakala empat anaknya hanya cedera ringan dan dirawat di hospital sama sebagai pesakit luar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki lima sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Papar menuju Penampang sebelum hilang kawalan lalu terjunam dalam gaung di tempat kejadian.

“Akibat kejadian itu, pemandunya yang cedera di bahu dan pinggang bersama empat anaknya dihantar ke HQE dengan ambulans JPAM Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, ketika kejadian jalan licin kerana hujan renyai-renyai menyebabkan kereta dipandu Dianah hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam dalam gaung.

“Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan pemandu bersama keluarganya terselamat dan hanya cedera,” katanya.

Sementara itu, Pegawai JPAM Kota Kinabalu Hazle Shah Abdul Hamid berkata, sebaik menerima laporan, lapan anggota JPAM Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan dan sebaik tiba, semua mangsa yang berada dalam Perodua Kancil berjaya dikeluarkan orang awam.

“Semua mangsa kemudian dibawa ke HQE dengan ambulans JPAM untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: May 5, 2015 @ 10:13am
d