mutakhir

Setem guna dakwat keemasan selepas 200 tahun

Ipoh: Buat pertama kali dalam sejarah selepas 200 tahun Pos Malaysia beroperasi, pengeluaran setem hari pertama menyaksikan penggunaan dakwat keemasan dalam cetakan bingkai dan perkataan serta kilatan varnis pada keluaran lembaran mini setem bagi edisi Pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak ke-35 di sini.

Setem istimewa itu bernilai 60 sen, 80 sen dan RM1.20 bersaiz 30 milimeter (mm) x 51mm dan setem berharga RM5 dalam bentuk lembaran mini bersaiz 42mm x 70mm yang memaparkan wajah Sultan Nazrin serta Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, akan mula dijual pada 7 Mei ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad Azlan Shahrim berkata, pengeluaran setem berkenaan untuk mengabadikan distiadat pertabalan Raja Melayu.

“Peminat setem kenang-kenangan ini boleh mendapatkannya di semua Pejabat Pos Besar serta pejabat pos terpilih di seluruh negara. Setem ini unik dan istimewa sempena pertabalan Sultan Perak, malah reka bentuk setem juga dipilih Sultan Nazrin sendiri.

“Malah, orang ramai boleh mendapatkan setem hari pertama ini lebih mudah dengan cara menempah secara dalam talian melalui SODA (standing order account atau akaun arahan tetap) di laman web Pos Malaysia,” katanya.

Azlan berkata, sampul surat hari pertama dijual dengan harga 50 sen setiap satu, folder atau fail khas sempena pertabalan berharga RM6 serta kit hari pertama berharga RM71.60 yang mempunyai tiga lembaran setem dengan setiap lembaran mempunyai 20 keping setem berharga 60 sen, 80 sen dan RM1.20, lembaran mini dengan sekeping setem berharga RM5, sampul hari pertama serta folder.

“Peminat setem yang membeli sampul dan setem hari pertama pada 7 Mei ini di gerai pameran Pos Malaysia di Dewan Bandaran Ipoh berpeluang membatalkan setem dengan pembatal yang tertera Kuala Kangsar yang mempunyai nilai tinggi meskipun ia dibeli di Ipoh.

“Manakala, pembeli yang membatalkan di pejabat pos terpilih lain boleh membatalkan setem mengikut lokasi pejabat pos setem itu dibeli,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Koleksi Gambar, Setem Hari Pertama dan Hikayat Misa Melayu, yang disempurnakan Sultan Nazrin di Dewan Bandaran Ipoh di sini, semalam.

Tambah Azlan, pengeluaran setem dan sampul hari pertama terhad 40,000 sampul hari pertama, 400,000 setem berharga 60 sen, 250,000 setem berharga 80 sen dan RM1.20, 30,000 lembaran mini setem RM5 dan 4,000 folder.

`.

Disiarkan pada: May 5, 2015 @ 10:23am
d