mutakhir

MARA bantu buka akaun amanah saham

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) membuka akaun amanah saham untuk Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 7, dan adiknya, Nur Firuza Aqila, 4, yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa dan adik mereka terbabit dalam kemalangan maut, awal pagi Sabtu lalu.

Pengerusi Pelaburan MARA Berhad Datuk Sohaimi Shahadan berkata, bantuan berkenaan akan memberi pulangan dalam bentuk dividen sehingga enam peratus setiap tahun sekali gus menjadi pelaburan jangka panjang kepada kedua-dua beradik berkenaan.

“Akaun amanah saham bernilai RM3,000 setiap seorang itu boleh dikeluarkan pada bila-bila masa, namun saya mengharapkan bantuan ini boleh dijadikan sebagai jaminan masa depan yang akan digunakan untuk pengajian mereka.

“Kita juga akan memberi keutamaan kepada Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila sekiranya mereka mahu melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi pengajian MARA jika berkelayakan,” katanya.

Menurutnya, akaun amanah saham di bawah program tanggungjawab sosial korporat iaitu Pelaburan MARA Bersama Anda itu dijangka diserahkan kepada penjaga kanak-kanak berkenaan dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Kanak-kanak ini memerlukan sokongan pendidikan memandangkan mereka kehilangan ibu bapa yang memainkan peranan penting dalam memantau sistem pendidikan anak-anak.

“Kita juga akan memberi keutamaan pelajaran kepada kedua-dua mereka untuk memasuki mana-mana institut pengajian MARA apabila tamat sekolah rendah dengan kelayakan minimum diperlukan,” katanya selepas melawat keluarga arwah Fairuz Nizam Husain, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Batu Datuk Yahaya Mat Ghani berkata, pihaknya menerusi Yayasan Pewaris Batu akan mewujudkan akaun khas bagi mengumpul dana yang akan disalurkan terus kepada keluarga mangsa nahas terbabit.

“Akaun amanah ini turut mendapat sokongan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut menyarankan akaun berkenaan ditubuhkan dan akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kita memahami situasi kedua-dua anak arwah dan sememangnya mereka memerlukan bantuan daripada masyarakat.

“Jadi, dengan bantuan ini, diharap dapat membantu keluarganya menampung perbelanjaan kedua-dua mereka sehingga dewasa nanti,” katanya.

Disiarkan pada: May 5, 2015 @ 10:35am
d