mutakhir

Gempa skala kecil kejutan malam kedua

Malam kedua kami di bandar Kathmandu, Nepal, dikejutkan pula dengan kejadian gempa bumi berskala kecil yang menyebabkan penduduk setempat dan pelancong di Jalan Thamel di sini, gempar.

Kejadian berlaku ketika kami berlima sedang nyenyak tidur di sebuah hotel dihuni di Jalan Thamel di sini.

Ketika itu, terasa ada gegaran sekitar 10 hingga 20 saat dan penduduk setempat sudah mula menjerit ketakutan dan berlari keluar dari tempat penginapan masing - masing.

Kami semua juga diminta keluar dari bilik dihuni. Sebagai ketua kumpulan, saya bertanggungjawab memastikan keselamatan isteri dan tiga penuntut yang mengikuti ekspedisi ini.

Kami segera keluar dari hotel dan berkumpul di lokasi yang selamat.

Selepas keadaan reda, kami berlima cuba kembali ke bilik masing - masing namun pihak pengurusan hotel meminta kami menunggu seketika berikutan pemeriksaan keselamatan dilakukan terhadap struktur bangunan hotel itu.

Kami dapat melihat banyak bangunan yang menjadi lebih condong atau rosak akibat gegaran berskala kecil itu.

Yang nyata, sekiranya berlaku gempa bumi lagi, pasti kebanyakan bangunan di bandar Kathmandu akan menyembah bumi.

Meskipun sudah lebih 10 hari kejadian gempa bumi mengorbankan ribuan mangsa di Nepal berlalu, namun penduduk di sini masih lagi hidup dalam ketakutan.

Penduduk di bandar Kathmandu ini jelas masih trauma untuk tinggal di dalam rumah sebaliknya lebih selesa mendirikan khemah serba daif di kawasan lapang.

Kehidupan mereka bagai jatuh ditimpa tangga kerana mereka sememangnya golongan miskin dan daif sebelum tragedi berlaku.

Kebanyakan mereka membina rumah baru diperbuat daripada kanvas dan pelapik kanvas di kaki lima jalan.

Ada juga yang tidur saja di kaki lima jalan dengan beralaskan lengan.

Turut kelihatan beberapa pos bantuan di kawasan tumpuan penduduk. Mangsa akan berpusu-pusu mendapatkan individu yang menghulurkan bantuan makanan.

Saya menyaksikan dua keadaan berbeza antara Base Camp Gunung Everest (EBC) apabila penduduk di situ

masih mampu hidup berdikari berikutan sudah biasa dengan kehidupan sukar berbanding penduduk di Kathmandu .

Di kawasan bandar pula, penduduk sudah biasa dan selesa dengan mengharapkan bantuan daripada mencarinya sendiri.

Disiarkan pada: May 6, 2015 @ 9:51am
d