mutakhir

Menang majoriti 8,895 undi

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah dan Syazwan Msar

Rompin: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Rompin apabila calonnya, Datuk Hasan Arifin, 62, mengetepikan calon PAS, Nazri Ahmad, 40, dengan majoriti 8,895 undi.

Hasan yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin memperoleh 23,796 undi manakala Nazri memperoleh 14,901 undi.

Ia diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Fadzilla Salleh di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK itu di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, malam tadi.

Hasan yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) Pahang berkata, dengan mandat yang diberikan pengundi, beliau akan memastikan nasib penduduk di daerah itu, khususnya meningkatkan ekonomi dalam kalangan golongan belia.

Bekas Timbalan Menteri Besar itu mengakui kemenangannya itu hasil kerja keras jentera parti dan gerak kerja kempen dalam menemui semua lapisan masyarakat termasuk Orang Asli, warga FELDA dan peniaga kecil.

“Insya-Allah saya tidak akan hampakan pengundi di Rompin dan sama sekali tidak akan mengabaikan mereka,” katanya.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mengulas majoriti yang diraih BN, Hasan berkata, ia adalah majoriti yang amat baik dengan mengambil kira pelbagai isu semasa termasuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan dan isu FELDA.

“Kemenangan ini adalah petanda keyakinan masyarakat terhadap kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Sementara itu, Nazri yang Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang tidak hadir.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, pada 4 April lalu.

Selain Jamaluddin, tragedi itu turut mengorbankan lima yang lain termasuk Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias, juruterbang helikopter Clifford William Fournier Jr, kenalan juruterbang, Aidana Baizieva, ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang dan pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, selepas mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Disiarkan pada: May 6, 2015 @ 9:59am
d