mutakhir

Pertandingan esei, pidato meriahkan pertabalan

Ipoh: Istiadat Pertabalan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dimeriahkan lagi dengan Pertandingan Menulis Esei dan Pidato yang mendapat sambutan menggalakkan dengan 7,646 pelajar menyertai pertandingan esei, manakala 430 pelajar menyertai pertandingan pidato.

Pertandingan menulis esei itu dibuka kepada semua pelajar sekolah seluruh Perak bermula awal Januari 2015 dan bagi pertandingan pidato pula untuk peringkat daerah dianjurkan 28 Mac lalu dan peringkat negeri berlangsung di Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) 18 April lalu.

Antara tajuk esei dan pidato yang dipertandingkan adalah Institusi Raja: Lambang Kedaulatan Negara bangsa; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Majlis Raja-Raja: Peranan dan cabaran; Loyalty to King and country; The Royal Institution: National symbol of sovereignty of a nation state dan beberapa tajuk lain lagi.

Pertandingan diadakan bagi beberapa kategori untuk esei iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris bagi Sekolah Rendah, Sekolah Menengah Rendah serta Sekolah Menengah Atas, manakala bagi pidato juga diadakan untuk kategori Bahasa Melayu dan Inggeris bagi Sekolah Rendah, Sekolah Menengah Rendah dan Sekolah Menengah Atas.

Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut menghadiri Pertandingan Menulis Esei dan Pidato Peringkat Akhir Menengah Atas yang diadakan sempena Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak ke-35 di Pusat Konvensyen Aman Jaya, di sini, malam kelmarin.

Pada pertandingan akhir itu, pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang mewakili daerah Kuala Kangsar, Mohd Razeikh Md Rizal dinobatkan sebagai johan pidato Bahasa Melayu kategori Menengah Atas, manakala R Eashvar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Micheal yang mewakili daerah Kinta Utara dinobatkan johan bagi kategori Bahasa Inggeris.

Kedua-dua mereka membawa pulang wang tunai RM1,000 manakala naib johan dan tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM750 dan RM500.

Bagi pemenang pidato kategori lain yang sudah diumumkan sebelum ini, kesemua pemenang turut membawa pulang hadiah wang tunai yang sama, manakala bagi kesemua kategori esei pula hadiah utama adalah wang tunai RM1,000 serta empat hadiah iringan membawa pulang hadiah wang tunai RM750 setiap seorang.

Sementara itu, Mohamad Razeikh berkata, pengalaman mempersembahkan pidato di hadapan Sultan Nazrin adalah satu pengalaman baru dan berharga yang tidak dapat dilupakan.

“Saya mengambil masa seminggu untuk membuat persiapan menyiapkan teks pidato dan dengan bantuan guru, saya mendapat maklumat serta lebih pemahaman mengenai institusi diraja supaya fakta yang saya ketengahkan tepat dan menepati tajuk yang diberikan,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2015 @ 10:16am
d