mutakhir

Gembira hulur 300kg makanan

Pantang beralah sebelum berjuang. Itu yang didukung pasukan kami yang menunggu tanpa putus asa lebih 10 hari sejak berlakunya gempa bumi ni Nepal.

Bagaimanapun, kami terpaksa pulang juga ke Malaysia selepas pihak berkuasa Nepal membuat pengumuman kelmarin menyatakan Gunung Everest yang juga gunung tertinggi di dunia itu akan ditutup untuk musim ini berikutan sukar untuk memulihkan laluan mendaki gunung berkenaan.

Namun, kami tidak akan berputus asa kerana yakin akan kembali ke Gunung Everest tahun depan bagi menyelesaikan perjuangan kami yang terbantut sejak empat tahun.

Kami akan menggunakan laluan Tibet untuk menjayakan impian ini.

Saya sebagai pengurus pasukan pendakian sering mengingatkan peserta lain supaya berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir.

Disebabkan semangat itu mereka menanti dengan penuh harapan meskipun sudah dipindahkan ke Kathmandu buat sementara waktu.

Saban hari kami akan menunggu berita gembira daripada pihak berkuasa Nepal bagi meneruskan pendakian pada tahun ini dan kami berbangga kerana ia bukannya keputusan kami untuk mengalah dengan sendiri sebaliknya kami terpaksa pulang akibat keputusan kerajaan.

Hari ini adalah hari terakhir kami di sini dan kami menghabiskan masa dengan jalan - jalan seperti biasa bagi menikmati detik - detik terakhir di bumi ini dan yang nyata ia adalah pemandangan yang menyayat hati.

Masih ramai penduduk setempat yang tidur di tepi jalan dan khemah kanvas. Mereka juga masih sukar untuk mendapatkan bantuan makanan dan keperluan harian.

Namun saya berasa gembira kerana dapat menghulurkan 300 kilogram makanan yang dibawa untuk tujuan pendakian kepada penduduk di Lembah Khumbu.

Penduduk di kawasan itu antara yang teruk terjejas akibat kejadian gempa bumi itu, malah ramai rakyat yang terkorban di kawasan itu kerana terletak berdekatan dengan kawasan pergunungan.

Antara barangan yang disedekahkan kepada mereka adalah makanan tin, jagung manis, coklat, biskut dan juga pelbagai jenis ubat termasuk ubat cirit-birit, ubat tahan sakit dan plaster.

Bantuan itu kami salurkan melalui sherpa (pendaki) tempatan yang dengan sukarela mengangkutnya ke kawasan pedalaman berkenaan.

Meskipun pengalaman kami kali ini tidak seindah yang disangka namun kami berlima masih berpuas hati dan seronok sepanjang berada di Nepal dan antara pengalaman yang sukar dilupakan adalah kepayahan untuk mendapatkan makanan halal di Kathmandu.

Ketika kami berada di Khemah Induk Gunung Everest (EBC), kami ada tukang masak sendiri yang akan memasakan makanan mengikut selera rakyat Malaysia tetapi apabila tiba di Kathmandu, kami tiada ada banyak pilihan.

Ia bertambah buruk apabila kebanyakan kedai makanan halal yang berdekatan dengan tempat penginapan seperti Anatolia, Al Makkah dan Al Madinah ditutup akibat kerosakan struktur bangunan.

Kami terpaksa berjalan lebih 20 minit untuk ke sebuah restoran makanan halal dinamakan Pakiza yang terletak berdekatan Masjid Jamek Kathmandu.

Malah pihak kedutaan Malaysia juga membeli lebih 30 bekalan makanan daripada Pakiza setiap hari untuk diagihkan kepada rakyat Malaysia yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan halal.

Selepas mengimbau kembali semua kenangan manis dan pahit di sini, kami pulang ke Malaysia dengan harapan bumi Nepal akan kembali ke keadaan normal dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: May 7, 2015 @ 9:57am
d