mutakhir

KPDNKK mahu kes harga melampau diselesai segera

Kuala Pilah: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), berharap kes berkaitan kesalahan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 diberi keutamaan untuk diadili dan diselesaikan segera di Mahkamah Sesyen Khas Antipencatutan.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata, tindakan itu penting bagi mengadili dan menghukum peniaga yang bersalah mengaut keuntungan berlebihan, sekali gus memberi peringatan kepada mereka yang cuba melakukan kesalahan sama.

Katanya, sehubungan itu, beliau berharap perkara itu dipertimbangkan sewajarnya oleh Jabatan Peguam Negara.

“Jemaah Menteri sudah memutuskan agar satu mahkamah khas diwujudkan bagi memastikan kes-kes kesalahan mencatut dapat diberi perhatian serius dan diselesaikan segera.

“Tindakan di mahkamah adalah sebagai peringatan kepada peniaga lain supaya berhati-hati dan tidak menaikkan harga barangan sesuka hati,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pengurusan Bencana Berasaskan Komuniti di sini, semalam.

Beliau berkata, kewujudan mahkamah itu jelas menunjukkan kerajaan serius dalam menangani isu kenaikan harga barang dan caj bagi perkhidmatan serta memberi keyakinan kepada orang ramai Cukai Barang Dan Perkhidmatan (GST) tidak akan memberi kesan negatif kepada pengguna.

Kelmarin, seorang pengarah sebuah pasar raya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam, Selangor, apabila pasar raya itu menjadi premis perniagaan pertama didakwa mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Dalam perkembangan lain, Hasan berkata, bagi memastikan tindakan penguatkuasaan berkesan, pihaknya membekukan cuti 2,041 kakitangan penguatkuasanya sejak 1 April lalu sehingga suatu tempoh ditetapkan.

“Kita mahu mereka fokus terhadap tindakan penguatkuasaan dan bahagian itu juga diperkuatkan dengan pengambilan seramai 427 kakitangan baharu tidak lama lagi,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2015 @ 11:10am
d