mutakhir

Pembunuh hanya 800m dari lokasi

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat : Seorang warga Bangladesh berusia 20-an yang melarikan diri selepas memukul rakannya hingga maut diberkas polis pada jam 1.30 pagi, semalam.

Lelaki berkenaan diberkas kira-kira 800 meter dari lokasi dia memukul rakannya Nurul Hakim Nazir Ahmad, 31, etnik Rohingya yang memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di rumah sewa mereka di Jalan Puteri Sa’adong, Wakaf Bharu, di sini.

Terdahulu dalam kejadian 6 petang, suspek dikenali sebagai Hassan bertengkar dengan Nurul Hakim hingga mengakibatkan mangsa cedera dipercayai dihentak menggunakan tukul di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Superintendan Zaharuddin Rasip berkata, suspek ditahan dalam keadaan berlumpur dan basah serta tidak memakai kasut.

“Pasukan polis menahannya berdasarkan gambaran diberikan orang ramai ketika kali terakhir melihatnya.

“Suspek direman selama seminggu bermula hari ini (semalam) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: May 8, 2015 @ 10:00am
d