mutakhir

Nafi beli 2 plot tanah 1MDB RM772j

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) menyangkal laporan blog mendakwa pihaknya membeli dua plot tanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM772 juta.

Sebaliknya, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah mengesahkan, pihaknya hanya membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta dengan nilai RM2,773 sekaki persegi di TRX bagi membangunkan sebuah pangsapuri.

“TH hanya beli satu plot tanah di TRX pada kadar harga diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional.

“Bagaimanapun kita nafikan pembelian satu lot lagi untuk Signature Tower (Fasa 2) sepertima mana yang dilaporkan dalam blog tertentu.

“Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan itu diluluskan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurut Johan, beliau turut membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi semalam dan siasatan dalaman akan dijalankan bagi menyiasat penyebaran maklumat berkaitan TH yang diklasifikasikan sebagai sulit dan menyalahi Akta Tabung Haji 1995 serta polisi dalaman TH.

Mengulas lanjut berkaitan pelaburan pangsapuri 40 tingkat yang akan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 0.63 hektar, Johan berkata keputusan itu selaras dengan strategi pelaburan hartanah TH yang menumpukan kepada sektor domestik.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: May 8, 2015 @ 10:22am
d