mutakhir

Rokok seludup sasaran JKDM

Oleh Amir Abd Hamid dan Izlaily Nurul Ain Hussein

Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terus agresif mensasarkan premis yang menjual rokok seludup menerusi Op Outlet selain Op Pacak yang khusus kepada lokasi panas di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata, JKDM serius dan agresif dalam menangani gejala penyeludupan.

“Operasi khas turut dibuat di sempadan darat Johor-Singapura, Semenanjung Malaysia-Thailand, pelabuhan utama negara, pulau bebas cukai selain Op Outlet dan Op Pacak di seluruh negara.

“Langkah melaksanakan operasi secara agresif ini bertujuan mencegah penyeludupan dan seterusnya memutuskan rangkaian bekalan rokok, arak dan barang kritikal lain daripada memasuki pasaran tempatan,” katanya berucap ketika melancarkan Ops Pacak 2015 peringkat Sabah, di sini, kelmarin.

Menurutnya, setiap tiga daripada 10 kotak rokok dijual di pasaran adalah rokok seludup manakala setiap tiga daripada 10 tin minuman keras di pasaran juga diseludup.

Beliau berkata, hampir keseluruhan tempat di Sabah dikategorikan JKDM sebagai kawasan panas bagi aktiviti pengedaran dan penjualan rokok seludup.

Mengenai Op Pacak 2015, Matrang berkata, ia dilaksanakan secara bersepadu pelbagai agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan, polis dan imigresen untuk membanteras pengedaran serta penjualan barang seludup seperti rokok dan minuman keras.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan selepas penguat kuasa JKDM menjumpai rokok seludup dijual di sebuah restoran di Jalan Putra 1, Taman Tan Sri Yacob, Skudai, Johor, pada Rabu lalu.

Serbuan jam 11.15 pagi itu, tujuh anggota JKDM yang menjalankan pemeriksaan menemui 50 bungkus rokok dalam sebuah beg digantung di rak bersebelahan kaunter restoran itu.

Selepas pemeriksaan lanjut 15 minit kemudian, anggota JKDM menjumpai pula kotak plastik berisi 135 bungkus rokok seludup di atas rak bersama bekalan makanan lain.

Kotak plastik itu ditemui selepas lelaki warga asing berusia 40 tahun itu diarahkan membuka stor di bahagian dapur yang berkunci ketika anggota JKDM tiba ke lokasi serbuan itu.

Rokok yang dirampas itu berjenama Ray, U2, Sampoerna, Gudang Garam, Canyon, L.A dan NYX.

Penjaga kaunter mengaku semua rokok seludup itu dijual dengan harga murah iaitu antara RM2.50 dan RM4 sekotak.

Lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Disiarkan pada: May 8, 2015 @ 10:45am
d