mutakhir

Akhirnya tumpas

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Kuantan: Polis Kuantan menumpaskan kumpulan perompak yang aktif menyamar sebagai anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk merompak kedai runcit di daerah ini, dengan tertangkapnya dua lelaki di lokasi berasingan, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 29 tahun ditahan di Felda Neram 2, Kemaman dan di sebuah hotel di Cherating, dekat sini, pada 27 dan 29 April lalu.

“Kita percaya dapat menyelesaikan tiga kes samun di Kampung Tengah dan Taman Tas, di sini. Malah, kita juga yakin kumpulan sama terbabit dalam lima kes samun dengan menyamar sebagai penjawat awam di Kemaman dan Dungun.

“Dalam setiap kejadian, seorang daripada suspek menyamar sama ada sebagai anggota penguat kuasa kastam, kononnya mahu melakukan pemeriksaan untuk mengesan rokok seludup sebelum merompak kedai berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, suspek terbabit dalam rompakan kedai runcit di Kampung Tengah, di sini, pada 31 Mac lalu, dan melarikan wang tunai serta rokok semuanya berjumlah RM5,000.

Bagaimanapun, pemilik kedai sempat menyalin nombor kereta Proton Pesona dinaiki mereka dan berdasarkan maklumat itu, polis berjaya mengesan suspek pertama berusia 26 tahun di sebuah rumah di Felda Neram 2, Kemaman pada 27 April lalu.

“Berdasarkan soal siasat terhadap lelaki berkenaan, polis menahan suspek kedua berusia 29 tahun di sebuah hotel di Cherating, dekat sini, dua hari selepas itu dan merampas empat telefon bimbit, dua tablet, dua gelang tangan, lima cincin, empat subang dan satu rantai leher.

“Polis juga merampas 58 kad tambah nilai prabayar, kad kuasa anggota kastam yang diubah suai, kad bank, lima surat pajak gadai dan sebilah pisau rambo serta sebilah pisau lipat.

“Pemeriksaan dalam sebuah Honda Odessey di parkir hotel membawa kepada penemuan dua pistol tiruan, gari dan sebilah parang panjang,” katanya.

Menurutnya, polis percaya suspek aktif dalam kegiatan rompakan kedai runcit di sekitar daerah ini, Kemaman dan Dungun sejak tiga bulan lalu.

Katanya, siasatan lanjut mendapati bahawa Proton Persona milik salah seorang suspek manakala Honda Odessey disewa mereka.

“Ujian air kencing mendapati suspek berusia 29 tahun positif syabu (methamphetamine).

“Suspek turut memiliki dua rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana salah guna dadah dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2015 @ 10:29am
d