mutakhir

Bukan khurafat

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Ipoh: Istiadat Pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak ke-35 yang dilaksanakan sekarang tidak bertentangan dengan syarak sebaliknya lebih menjurus kepada usaha memulihara adat dan adab Melayu yang diwarisi
turun-temurun.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebelum istiadat pertabalan itu dilakukan, pihaknya mengadakan mesyuarat bagi memastikan semua adat dilakukan tidak mengandungi sebarang unsur khurafat sebaliknya selari dengan ajaran Islam.

“Kita ada adab dan adat, namun sebahagian orang kita (Melayu) tidak faham apa itu adat dan apa itu adab. Kita menyembah raja itu adab kerana itu adab orang Melayu sejak dulu yang dipelihara.

“Menghormati raja atau manusia tidak salah, asalkan jangan sujud atau rukuk, itu yang salah. Banyak sejarah orang Melayu sudah hilang, di sekolah tidak belajar lagi mengenai sejarah Raja Melayu, ada adat yang diterima oleh syarak, ada yang bertentangan seperti adat sembah pokok, sembah busut atau pergi ke keramat, itu tidak boleh kerana khurafat,” katanya.

Harussani berkata, maksud sebenar beberapa adat sepanjang pertabalan Sultan Perak iaitu bermula dengan Tabal Adat pada Rabu lalu yang menyaksikan Toh Seri Nara Diraja menyerahkan Mastika Embun dan membisikkan sesuatu kepada Sultan Nazrin.

“Bisikan itu satu pesanan supaya raja bersikap adil kepada rakyat. Itu saja, tetapi dengan cara beradat dan beradab,” katanya ketika ditemui selepas mengiringi Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini, semalam.

Mengenai istiadat Tabal Pusaka, Harussani berkata, ia semata-mata menyerahkan hak pusaka raja terdahulu kepada raja sekarang diiringi paluan nobat sebagai alat kebesaran dan dijirus air mawar selain tiada mantera dibenarkan.

Sebelum ini adat itu dikenali sebagai Tabal Jin, tetapi ia dimansuhkan kerana manusia tidak boleh disamakan dengan jin.

Mengulas mengenai adat mengambil air dari tujuh kuala sungai di Sungai Perak dan Adat Bersiram Tabal pula Harussani berkata, ia lebih kepada simbolik menunjukkan kekuasaan seorang raja.

“Pada masa dulu tiada sempadan daerah, jadi tujuh kuala sungai ini sebagai sempadan daerah takluk, jadi mandi dengan air dari tujuh kuala sungai untuk menunjukkan simbolik daerah kekuasaan, ia tiada unsur khurafat,” katanya.

Beliau berkata, adat menziarahi 34 makam raja terdahulu pula sebahagian daripada sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai memperingati raja yang sudah meninggal dunia dan melakukan tahlil setiap kali ziarah itu dilakukan.

Adat menjejakkan kaki di Beting Beras Basah di muara Sungai Perak pula bagi memperingati sejarah raja pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah yang masuk ke Perak seterusnya memerintah negeri itu.

Disiarkan pada: May 9, 2015 @ 10:59am
d