mutakhir

Arwah disifat seorang perahsia

Pasir Mas: “Adik saya pendiam dan perahsia, tidak pernah menceritakan masalah dihadapinya kepada keluarga,” kata Rosli Abdullah, abang Rosshida, 30, yang mayatnya ditemui di kawasan belukar, Cyberjaya, Rabu lalu.

Katanya, sikap arwah itu menyebabkan mereka sekeluarga tidak banyak tahu apa yang terjadi kepada adiknya sehingga dimaklumkan polis berhubung kejadian sedih itu.

Menurutnya, walaupun dia tinggal di Shah Alam, Selangor, berdekatan dengan tempat kerja adiknya, namun mereka jarang berjumpa, hanya berhubung melalui telefon dan mereka sekeluarga hanya berkumpul di kampung ketika cuti.

“Ibu ada beritahu saya adik tidak pulang ke rumah Isnin lalu, namun saya tidak mencarinya di tempat kerja.

“Saya tidak menyangka kejadian ini berlaku ke atas adik saya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kenjing, Repek, di sini, semalam.

Jenazah Rosshida tiba dari Kuala Lumpur pada jam 12.45 tengah malam kelmarin dan disembahyangkan di rumahnya sebelum dibawa ke tanah perkuburan. Jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 1.30 pagi.

Media melaporkan mayat Rosshida ditemui orang awam dalam belukar di bawah jambatan susur keluar Putrajaya ke Pulau Meranti, Cyberjaya, kira-kira jam 5 petang Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Abdul Aziz kelmarin berkata, tunang wanita itu yang berusia 26 tahun berasal dari Kota Bharu, Kelantan, ditahan di sekitar Cyberjaya selepas mengaku mencampak mayat mangsa dari jambatan dari ketinggian 14 meter.

Sementara itu, kakak Rosshida yang enggan dikenali meminta pihak media jangan mengganggu keluarganya kerana masih terkejut dan sedih dengan kejadian itu.

Disiarkan pada: May 9, 2015 @ 11:04am
d