mutakhir

Ditangkap sedang ulit pelanggan

Kuala Lumpur: Seramai 17 pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam yang dipercayai turut didagangkan bagi tujuan pelacuran ditahan polis dalam serbuan di pusat hiburan keluarga di Bandar Manjalara, Kepong, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 2 pagi oleh dua pegawai dan 14 anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman diketuai Asisten Superintendan Ibrahim Husin itu, pihak berkuasa mendapati premis terbabit menyediakan perkhidmatan GRO tanpa permit sah.

Ibrahim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan memiliki lesen perniagaan sah sehingga 31 Julai ini sebagai pusat hiburan keluarga.

“Dalam serbuan Op Noda ini, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Wanita Vietnam yang ditahan berusia 18 hingga 33 tahun. Premis menyediakan perkhidmatan GRO warga asing tanpa sebarang permit sah disyaki bagi tujuan pelacuran.

“Premis baru beroperasi selama seminggu dan serbuan dibuat hasil aduan awam selain pemantauan yang dibuat selama dua hari oleh unit risik kami,” katanya.

Beliau berkata, ketika serbuan, semua GRO sedang asyik melayan pelanggan dan bertempiaran apabila menyedari kehadiran pihak polis.

Namun, katanya, semua GRO itu berjaya diberkas hasil tindakan pantas pihak polis.

“Semua tangkapan dibawa ke Balai Polis Kepong untuk siasatan lanjut. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 39B Peraturan-peraturan Imigresen,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2015 @ 8:14am
d