mutakhir

Rangsang minda

Oleh Nor Hanisah Kamaruzaman

Kuala Lumpur: Golongan ibu bapa bukan saja dapat meluangkan masa bersama anak, malah memperoleh ilmu dan pengalaman lebih mendalam mengenai perkembangan minda manusia di Brain Expo 2015 yang berlangsung di Exhibition Hall 1 Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bermula kelmarin.

Pameran empat hari itu menyediakan empat Dunia Interaktif yang mendedahkan ibu bapa dan anak berkaitan aktiviti minda dan fakta saintifik mengenai minda di samping berhibur dengan aktiviti yang disediakan.

Dunia Interaktif dibahagikan kepada empat bahagian mengikut aspek perkembangan minda iaitu intelektual, motor, emosi dan komunikasi dan di setiap satu bahagian menyediakan aktiviti berbeza mengikut aspek perkembangan minda.

Seorang pengunjung dan juga ibu kepada tiga anak Haslinda Kasim, 36, berkata ibu bapa patut mengambil peluang untuk membawa anak ke Brain Expo bagi mendedahkan mereka kepada aktiviti yang merangsang minda.

“Bukan saja anak boleh melakukan aktiviti di sini tetapi ibu bapa boleh ambil peluang untuk mengetahui apa yang terbaik untuk minda anak selain meluangkan masa dengan mereka pada hari cuti.

“Anak juga dapat pelajari mengenai otak dan tahu apa yang ada di dalam kerana turut disediakan model otak untuk mereka pegang dan otak sebenar dipamerkan untuk mereka lihat,” katanya ketika ditemui semalam.

Ekspo anjuran Mead Johnson Nutrition (Malaysia) Sdn Bhd (Mead Johnson) kali kedua diadakan selepas sambutan menggalakkan dua tahun lalu.

Pengarah Pemasaran Mead Johnson Seah Su Yin berkata, tujuan utama pameran diadakan adalah bagi memberi pendedahan mengenai perkembangan minda kanak-kanak dengan menyediakan aktiviti menarik bagi menarik perhatian mereka selain memberi pendidikan kepada ibu bapa.

“Pameran juga bertujuan berkongsi pengetahuan dengan ibu bapa aspek perkembangan anak dan bagaimana untuk merangsang minda kerana minda adalah bahagian yang penting pada badan kita,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2015 @ 8:25am
d