mutakhir

Isi 12,000 kekosongan PDRM

Padawan: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengisi 12,000 kekosongan jawatan dalam pasukan itu secara berperingkat bermula tahun ini sehingga tahun depan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sebanyak 6,750 kekosongan jawatan anggota dan pegawai akan diisi tahun ini manakala selebihnya akan dilakukan pada tahun depan.

“Bagi jawatan inspektor saja, kita menerima 14,000 permohonan setahun dan itu tidak termasuk jawatan konstabel serta sarjan yang jumlahnya dua kali ganda.

“Permohonan diterima amat menggalakkan, tetapi hanya yang layak terpilih untuk mengikuti latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL).

“Kami turut memberi peluang kepada wanita untuk mengisi kekosongan jawatan yang ada.

“Ketika ini, PDRM mempunyai 15.8 peratus kakitangan wanita dan kita menyasarkan pembabitan wanita dalam pekerjaan ini bertambah 30 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya selepas Upacara Perbarisan Tamat Latihan Asas Kepolisian Kadet Sarjan Skuad 1/2014 di PULAPOL Kuching, semalam.

Pada majlis itu, seramai 641 kadet sarjan berjaya menamatkan latihan dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Sains Kepolisian hasil julung kali kerjasama PDRM dengan University Of Derby, United Kingdom.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh, Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman.

Dalam perkembangan berasingan, menyentuh mengenai pengambilan konstabel Cina yang berakhir hujung tahun lalu, Khalid berkata, seramai 700 pemohon terpilih untuk ke peringkat seterusnya dan daripada jumlah itu hanya 545 diterima mengikuti latihan di PULAPOL.

Katanya, permohonan yang diterima agak mengecewakan, tetapi polis akan membuka peluang itu semula bagi menarik minat masyarakat Cina menyertai PDRM.

Disiarkan pada: May 10, 2015 @ 8:32am
d