mutakhir

Bersih rumah pusaka

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Seramai 20 sukarelawan pencinta kucing dari Pulau Pinang, Kedah dan Perlis mengambil inisiatif membersihkan sebuah rumah pusaka yang menjadi pusat teduhan dan perlindungan bagi lebih 300 kucing.

Mereka rasa terpanggil untuk membantu membersihkan kediaman milik Azni Ahmad, 64, atau dikenali sebagai Kak Ani yang menjadi pusat perlindungan kucing di Perlis sejak 30 tahun lalu selepas melihat gambar keadaan rumah itu yang daif.

Sukarelawan, Muhammad Fadhzuan Ibrahim, 26, dari Kulim, Kedah berkata, dia terpanggil menjalankan aktiviti gotong-royong itu selepas melihat gambar keadaan rumah Kak Ani yang serba kekurangan dan daif diberikan oleh rakan peminat kucing dalam laman sosial.

Menurutnya, sebelum ini, dia tidak pernah mengenali Kak Ani, namun inisiatif itu timbul selepas melihat gambar dan maklumat yang diberikan oleh rakannya yang juga peminat kucing, Mastura Othman, 38, dari Kangar Perlis.

“Rasa simpati saya dan Mastura menyebabkan mereka berpakat mengumpulkan dana daripada jaringan peminat kucing seluruh Malaysia melalui laman sosial Facebook yang dikenali sebagai ‘Sembang-Sembang Kucing’.

““Bantuan yang diterima juga menggalakkan dan pelbagai bentuk seperti kewangan dan makanan,” katanya ketika ditemui di kediaman Azni Ahmaddi Kampung Baru Jalan Kangar-Padang Besar, semalam.

Sementara itu, Mastura yang mengusahakan kedai menjual haiwan di Kangar pula berbangga dapat membantu Kak Ani dalam menguruskan semula penempatan kucing itu.

““Kak Ani menghubungi saya ketika membeli makanan untuk kucing di premisnya itu dan apabila saya menghantar makanan itu, saya melihat keadaan sekelilingnya daif dan perlukan satu pemulihan serta pembaikan dari segi prasarana,”” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2015 @ 8:38am
d