mutakhir

Semak kerangka undang- undang rasuah secara holistik

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyarankan kerajaan menyemak semula kerangka undang-undang rasuah sedia ada secara holistik dan telus sebagai langkah serius menangani kegiatan tidak bermoral.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, semua pihak tidak seharusnya mudah berpuas hati dengan peruntukan sedia ada sedangkan ia sebenarnya perlu ditambah baik.

“Jenayah rasuah kini menjadi semakin sofistikated dan kompleks menyebabkan pemerkasaan undang-undang rasuah wajar dilaksanakan melalui proses perubahan, penambahbaikan dan pematangan.

“Malah, beberapa pindaan undang-undang sudah disyorkan kepada kerajaan sebagai langkah menjadikan SPRM lebih berkesan,” katanya pada ucapan balas di Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-82, semalam.

Beliau dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang sebagai penghargaan UiTM terhadap sumbangannya, malah kepakaran dimiliki turut diiktiraf di persada dunia melalui ketokohannya mentadbir urus kerajaan dan penguatkuasaan.

Istiadat konvokesyen disempurnakan Pro-Canselor UiTM Tan Sri Arshad Ayub.

Hadir sama, Pro-Canselor UiTM Tan Sri Sallehudin Mohamed dan Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid serta Naib Canselor UiTM Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Disiarkan pada: May 10, 2015 @ 8:39am
d