mutakhir

Nafi Parlimen jadi pak turut

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menegaskan, kerajaan tidak pernah menganggap institusi Parlimen sebagai pak turut, sebaliknya melaksana peranan dengan baik, berwibawa dan matang bagi merealisasikan amalan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Menurut Perdana Menteri, bagi menggubal undang-undang yang terbaik dan dapat diterima, anggota legislatif berpeluang memberi pandangan dan cadangan dalam rang undang-undang yang dikemukakan kerajaan.

“Ia sekali gus membuktikan Parlimen bukan sekadar meluluskan undang-undang yang dibawa oleh eksekutif, tapi pihak legislatif juga boleh beri pandangan dan cadangan.

“Adakalanya cadangan itu diterima dan dibuat pindaan sewaktu rang undang-undang itu dibahas. Ini menunjukkan daripada eksekutif termasuk bagi diri saya, tidak pernah menganggap Dewan Parlimen sebagai ‘rubber stamp’ saja,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seluruh Malaysia 2015 di sini semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Menurut Najib, persidangan dua hari selepas kali terakhir diadakan pada 2007 itu antara lain menjadi wadah penyampaian dan perkongsian amalan Parlimen di peringkat Parlimen dan DUN seluruh negara bagi memantapkan fungsi dan kedudukan institusi berkenaan.

“Pada masa kini, dalam cabaran menghadapi dunia tanpa sempadan, kita berdepan dengan masyarakat yang lebih berpengetahuan dan terbuka yang mahukan maklumat di hujung jari.

“Saya menyeru kepada semua Speaker Parlimen dan DUN supaya meningkatkan reputasi, kredibiliti dan integriti Dewan Perundangan masing-masing bersandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan atau Negeri dan Peraturan Dewan,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan turut berharap institusi Parlimen dan DUN terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang ke atas program kerajaan.

Dalam ucapannya itu, Najib mengumumkan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 di Dewan Rakyat pada 21 Mei ini.

Disiarkan pada: May 10, 2015 @ 8:46am
d