mutakhir

3 jam kritikal

Oleh Rohaida Omar

Kuala Krai: Selepas lebih tiga jam bertarung nyawa, seorang warga emas maut apabila kereta yang dipandu cucu saudaranya terbabas sebelum merempuh penghadang jalan dalam kejadian di Kilometer 83, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Sungai Sok, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.45 pagi itu, mangsa Rahimah Mamat, 61, putus kaki kanan apabila penghadang jalan itu menusuk masuk ke dalam kereta sebelum dia dikejarkan ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Mangsa disahkan meninggal dunia jam 8.15 pagi semalam.

Pemandu kereta Kamarudin Muhamed, 39, dan seorang lagi penumpang Mohamad Shukri Junoh, 20, hanya cedera ringan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Mohd Azlan Abdul Kadir berkata, ketika kejadian kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Kota Bharu.

Katanya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan penghadang besi itu menusuk masuk ke dalam kereta di tempat duduk penumpang hadapan.

“Kejadian itu menyebabkan kaki kanan Rahimah putus sebelum dia dikejarkan ke HKK untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Mohd Azlan berkata, Rahimah bagaimanapun meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di HKK.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2015 @ 8:52am
d