mutakhir

Besar anak jual nasi minyak

Kuantan: Pengorbanan tiga wanita berbeza kaum dan agama membesarkan anak masing-masing diiktiraf, semalam apabila mereka dianugerahkan Ibu Contoh sempena sambutan Hari Ibu Negeri Pahang di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang, di sini.

Penerima terdiri daripada ibu tunggal, Maimunah Sulaiman, 44, dari Kampung Pak Mahat di sini, Chong Choi Yen, 52, yang tinggal di Air Putih, di sini dan N Kanamal, 40, dari Tanah Putih, di sini.

Mereka menerima sijil penghargaan, hamper dan plak yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Maimunah berkata, beliau terharu dengan penganugerahan itu meskipun tidak pernah mengharapkan ganjaran dalam membesarkan lima anak berusia antara enam dan 18 tahun dengan menjual nasi minyak.

Katanya, sejak bercerai dengan suami tahun lalu, dia mengambil tugas membesarkan lima anaknya bersendirian termasuk menguruskan tiga anak yang masih bersekolah.

Beliau tidak pernah menyalahkan takdir, sebaliknya terus melipatgandakan usaha untuk menambah pendapatan keluarga.

“Sebelum ini saya bekerja di gerai namun sejak tahun lalu, saya memasak sendiri nasi minyak dan menjualnya di gerai tempat saya bekerja.

“Alhamdulilah, rezeki anak-anak sentiasa ada. Malah, penghargaan hari ini amat bermakna dan Ini kali pertama diraikan seperti ini,” katanya.

Kanamal pula menjadi ketua keluarga selepas suaminya terlantar akibat kencing manis sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dia sentiasa tabah dan sabar menjaga suami dan lima anak mereka yang berusia antara enam hingga 12 tahun.

“Saya akan terus menjaga keluarga selagi mampu dan terima kasih kerajaan negeri kerana memberi anugerah ini,” katanya.

Sementara itu, Chong yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah rumah ibadat di bandar ini turut berterima kasih atas pengiktirafan itu.

Terdahulu, Shahaniza dalam ucapannya berkata, sambutan Hari Ibu dengan tema ‘Saya Sayang Ibu Saya’ sangat bersesuaian dan semua pihak perlu menghargai jasa ibu masing-masing.

Disiarkan pada: May 11, 2015 @ 7:50am
d