mutakhir

Terpahat trauma gempa

Kathmandu: Kejadian gempa bumi memang benar-benar meninggalkan kesan mendalam terutama kepada penduduk yang mengalami kejadian itu secara langsung.

Saya berkesempatan meninjau dua kampung terpencil di Sindhupalchowk kira-kira tujuh jam perjalanan dari bandar ini dan melihat sendiri kesan trauma ini.

Di perjalanan, bas yang dinaiki senget ketika melalui satu jalan yang agak lembut kerana membawa terlalu ramai orang dan barang.

Saya terpinga-pinga apabila semua penumpang bas tiba-tiba meluru turun dan ada yang menjerit apabila bas dinaiki senget.

Mereka menjerit menyuruh semua turun seolah-olah ada benda besar berlaku.

Namun apabila keadaan tenang baru diketahui mereka panik kerana menyangka berlaku gempa.

Saya tersenyum sendirian dan terfikir gempa bumi ini memang menakutkan mereka.

Menaiki bas luar bandar di Nepal juga amat meletihkan kerana terpaksa melalui jalan tanah merah dan lereng bukit yang berbahaya.

Jalan pula sempit dan berbahaya hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan dalam satu-satu masa.

Saya tiada pilihan apabila kenderaan yang disewa terkandas kerana tidak boleh melalui kawasan sungai cetek, tetapi berarus deras. Satu-satunya kenderaan yang ada hanya lori atau bas.

Pemandu bas pula sesuka hati berhenti untuk melepak tanpa memikirkan keselesaan penumpang. Basnya amat daif dan terpaksa berhenti banyak kali sepanjang perjalanan keadaan keadaan jalan kurang memuaskan.

Sepanjang laluan memang jelas kelihatan kemusnahan yang berlaku. Penduduk pula hanya menunggu di tepi jalan meminta atau menunggu bantuan.

Disiarkan pada: May 11, 2015 @ 8:06am
d