mutakhir

Remaja OKU lemas dalam takungan

Bagan Serai: Tindakan remaja orang kurang upaya (OKU) mandi sendiri di bilik air bertukar tragedi apabila dia lemas dalam bekas takungan air di rumahnya di Jalan Siakap, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, Pee Sin Yee, 13, yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bagan Serai ditemui di dalam bekas takungan air oleh ibu saudara.

Ibu saudaranya, Poh Chiew Ping, 25, berkata, dia menemani mangsa masuk ke bilik air dan menyediakan baldi sebelum beredar ke dapur untuk memasak.

Katanya, beberapa minit kemudian, dia yang kembali ke bilik air terkejut mendapati separuh badan mangsa berada di dalam bekas takungan sebelum mengeluarkannya.

“Saya membawanya ke Hospital Parit Buntar (HPB) sebelum dimasukkan ke wad kecemasan dan diberikan rawatan.

“Doktor memberitahu keadaan mangsa kritikal dan jam 8.15 malam mangsa disahkan mati,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil tugas menjaga mangsa selepas ibu bapanya berpisah dan Sin Yee tidak mampu berjalan kerana lumpuh separuh anggota badan sejak lahir.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa sesak nafas sewaktu terjatuh ke dalam bekas takungan air.

Disiarkan pada: May 11, 2015 @ 8:24am
d